Saya tidak tahu kenapa saya boleh tersesat di sini dan menulis sesuatu pada hari ini. Bukan kerana saya tidak ada apa yang hendak diperbuat sambil-sambil menunggu cuti dengan mood kerja yang tidak bersisa. Tentu tidak, saya bukan seperti itu. Mood kerja saya boleh hilang bila-bila masa tidak semestinya menjelang cuti raya sahaja. Sementelahan pula saya tidak mengambil cuti lebih daripada yang diberikan kalendar.
Sebenarnya saya tertarik membaca cadangan daripada pembaca akhbar Utusan dalam ruangan Forum, yang mana inilah ruangan paling saya minati dalam akhbar ini. Ada waktunya, kita akan dapat surat yang betul-betul menghiburkan di ruangan ini.
Seperti yang boleh dibaca di sini, saya tumpang bersetuju dengan pendekatan sesetengah
pihak yang tidak suka dengan amalan memberi duit raya. Oleh kerana sewaktu masih anak-anak saya tidak berpeluang mengumpul duit raya sebanyak anak-anak yang lain, jadi saya tidak rasa bersalah jika tidak memberi duit raya kepada anak-anak yang wujud di depan saya setelah saya dewasa – termasuk anak kepada orang yang pernah memberikan duit raya kepada saya dahulu.
Jadi, memberikan hadiah sebagai ganti duit raya tidak kiralah sama ada buah tangan, cenderahati, buku, rantai kunci, kuih raya dalam sampul, pulut kuning atau apa sekalipun, setidaknya itu boleh mencerminkan satu budaya memberi yang lebih murni. Membebaskan juga fikiran dan kefahaman anak-anak daripada jajahan mentaliti kapitalis yang memandang ringgit dan sen melebihi nilai pemberian. Tentu menarik kalau anak-anak berbondong-bondong pergi ke rumah yang berlainan untuk mengumpul ole-ole daripada bermotifkan mengumpul pendapatan.
Ada tuan rumah yang kata mahu gantung sampul duit di pagar sahaja sebab kanak-kanak datang beraya tidak mahu makan atau minum sambil menunggu mahu bersalam. Oh, itu halnya tuan rumah. Belum masuk halnya anak-anak pula yang memang mahu bersalam di pintu saja tak mahu masuk. Tak larat kata mereka. Begitu penangan wang ringgit kepada kanak-kanak kecil. Oh!
Kalau majlis kahwin boleh kreatif menempah door gift yang tidak boleh sama dengan kenduri jiran sebelah tahun lepas, apa salahnya berkreatif menempah (atau buat sendiri pada waktu lapang) door gift untuk anak-anak yang datang beraya. Untuk anak saudara mara, bolehlah
dicari ole-ole yang lebih nilainya sebagai membalas jasa ibu bapa datuk nenek mereka yang berikan duit raya waktu kita kecil-kecil dulu.
Habis bercerita panjang perihal mengelak mahu beri duit raya, maka saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua yang pernah hadir ke blog ini. InsyaAllah, jika rajin saya akan menulis lagi di sini dan ukhuwah yang pernah terjalin antara saya dan para pembaca eloklah kita mekarkan semula.
Selamat menikmati hari-hari Ramadhan yang berbaki dan mohon maaf atas sebarang kesilapan.


Salam Aidilfitri.
p.s: Saya pun cuti ikut kalender je. Takde kampung, nak cuti lama-lama pun tak best juga. Nak beraya rumah orang, semua pun balik kampung. Jadi, lebih baik bekerja, dengan riang (meleleh air mata sambil makan rempeyek kacang dal).
__
Indrasakty: Hari raya sepatutnya riang. Takbir raya pun sepatutnya bersemangat (kalau diteliti maknanya), bukan sedih sayu mendayu. Hari-hari pun sepatutnya kena riang gembira.