SUDAH tentu sebab pertama saya memuat turun tujuh episod Cinta Tikar Sejadah ialah kerana pelakon wanitanya, Rafidah Ibrahim – gadis yang anda boleh google untuk lihat bagaimana rupanya jika anda belum mengenalinya. Sebab kedua kerana saya tidak melanggan Astro.
Saya tidak lihat jalan cerita drama bersiri ini sebagai tersusun elok dan banyak trivia yang boleh dicungkilkan jika mahu, dan saya tidak mahu. Yang kita lihat tidak kena, kita cuba buat-buat faham dan ketepikan sahajalah sekejap kerana mesej yang mahu disampaikan duduknya lebih atas daripada ketersusunan jalan cerita. Ya, mesejnya baik sekali.
Saya suka Bob Lokman sebagai Tok Ba dengan kebersahajaannya. Bob yang saya kenal adalah seorang pelakon komedi, yang mana saya mengenali pelakon komedi di Malaysia dengan perkenalan yang negatif. Oh, kita perlukan lebih ramai pelakon komedi yang mampu berhumor secara dewasa. Jenaka tanpa ilmu dan halatuju hanya layak digelakkan oleh kanak-kanak, dan ramai pelakon komedi di Malaysia mampu berjenaka seperti ini dengan begitu baik sekali. Tetapi tidak Bob dalam siri ini.
Bob sebagai seorang datuk yang memainkan peranan penting sebagai asas kepada cerita, santai berhumor pada tempatnya dan pandai membawakan skrip berisi lewat kebersahajaannya, seperti Bob yang selalu-selalu kita kenal. Tok Ba akan serius dalam babak-babak yang memerlukannya serius, bermain dengan perasaan dan menuturkan baris nasihat.
Dalam menyindir, Tok Ba lebih hebat. Haji, haji, haji Jali (dia pergi Mekah tiga kali), anak saudara Tok Ba dibawakan dengan begitu menjadi oleh Hamdan, dalam jenaka yang tidak terasa. Yang dirasai cuma pedasnya sindiran Tok Ba, daripada loba dan serakahnya mainan perkataan Jali setiap kali babak mereka bertemu. Oh, sungguh sinikal.
Tema yang dibawakan dalam siri ini bukanlah satu tema yang berat pada kira-kira saya. Tema yang boleh wujud dalam mana-mana cerita Melayu pun – anak yang tidak menjadi, kegagalan institusi kekeluargaan, kampung Melayu dengan gadis yang sopan, kerakusan kepada harta pusaka, orang tua yang diabaikan, cinta yang pura-pura malu tapi mahu, semua itu sudah banyak kita lihat dalam drama Melayu sejak dahulu kala.
Tidak ada yang luar biasa dalam drama ini, selain daripada tajuknya. Ya, tikar sejadah pun ada cinta. Pelik tetapi tidak begitu pelik jika itu judul itu diniatkan untuk menggambarkan bahawa itu adalah cerita berkonsepkan islami, dan ia sebuah cerita yang santai bersulam jenaka. Melucukan bukan, jika tikar sejadah digandingkan dengan cinta? Bagaimana pula dengan Cinta Kopiah? Saya pernah tonton drama bersiri Indonesia beberapa tahun lepas, Demi Masa yang dilakonkan dengan sebegitu lancar oleh Deddy Mizwar. Ataupun mungkin juga dalam Kiamat Sudah Dekat, konsep yang sama digunakan di sini.
Watak seorang tua yang alim, dengan barisan anak muda yang jahil, dididik dengan penekanan unsur agama secara santai dan humor. Maksud di sini, wataknya yang penuh humor, bukan ajarannya. Setidaknya, kesantaian dan jenaka yang dihasilkan menarik minat penonton untuk mendengar kalimah-kalimah agama dalam lapisan kata yang tidak terasa. Ah, cerita agama yang berat-berat kadangkala disasarkan untuk orang yang mampu duduk di depan televisyen untuk dengar Forum Perdana Hal Ehwal Islam sahaja. Mereka ini mampu ke masjid untuk belajar agama. Jadi pembikin drama yang mahu mendidik perlu lebih peka bahawa sasaran dakwahnya adalah golongan yang berat perhatiannya kepada televisyen, yang tidak mampu mendengar kuliah di masjid.
Saya bersetuju dengan pendekatan drama santai bermesej seperti ini, malah berharap cerita-cerita berunsurkan Islam dalam gaya hidup semakin mendapat tempat di hati para pembikin drama dan filem.
Oh ya, saya tidak mengulas tentang hero dan heroinnya. Ah, kerana watak itu lemah. Pelakonnya baik, tetapi wataknya tidak begitu mengesankan. Siti Zulaikha mungkin jadi perhatian kerana estetika raut wajahnya, dan mungkin juga Hezry boleh berkongsi sebab yang sama. Sebenarnya tidak banyak boleh diharapkan daripada watak gadis dan jejaka kerana secara tipikal, saya boleh teka mereka akan pura-pura tak suka tetapi kemudian kahwin dan berbahagia. Itulah piawainya cerita Melayu, bukan? Kita tunggu sampai episod akhir.


salam…
Lama tidak ketemu. Ada juga saya menjengah cerita ini, sekejap saja. Melihat tajuk, barisan pelakon, terus andaian awal dibuat. Tba-tiba tidak rasa tertarik untuk menonton.
Kejamkah?
Haha…
Ha ha, agak kejam juga. Mungkin patut diletaknya hero yang lebih jambu, baru andaian awal tu elok sikit.
Saya pun tengok sebab nak tengok Fida saja, tapi terkesan dengan Bob pula.
saya kekadang tak sengaja pun tertengok citer ni.
ok, fida pandai berlakon. suka tgk dia.
sy ad jg tngk cerita cinta sejadah…..ceritanya…..sgat sempoi &bersahaja dan prmndangannya yg harmoni di sebuah prkampungan