KEBELAKANGAN ini saya kerap berbeza pandangan dengan orang di sekeliling. Apa yang saya fahami dan apa yang saya fikirkan sebagai wajar, tidak pula dilihat dari sudut pandang yang sama dengan orang yang saya hadapi.
Sebagai seorang yang mempunyai ruang perhubungan yang terbatas, pandangan-pandangan saya biasanya terkongsi bersama khalayak yang rapat sahaja. Saya tidak berada dalam mana-mana medium penyiaran yang luas capaiannya, kecuali blog ini – yang juga tidak dikunjungi ramai pembaca.
Dahulu dengan ketua di tempat saya bekerja, saya sering berbeza pandangan. Ketua saya yang dahulu juga bukanlah orang yang mudah menerima pandangan saya (atau mungkin orang lain juga), kerana sebagai pengemudi sebilah sayap dalam organisasi beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam sebarang keputusan. Saya iyakan sahaja apa mahunya walaupun sering amat saya lakukan dengan rasa yang berat. Natijah kepada hal itu, saya jadi kurang berhubungan mesra di luar formaliti kepejabatan dengannya.
Sebagai perbandingan, sering juga staf di bawah seliaan saya berbeza pandangan dengan apa yang saya mahukan. Jika tidak berfikir panjang, selalu juga saya mengikut resam ketua saya dengan bertahan kekal kepada apa yang saya mahukan sahaja. Ya, saya gagal di situ apabila saya perasan staf saya menerima sebahagian daripada apa yang saya katakan dan meninggalkannya apabila di belakang saya.
Sering juga apabila saya mencetuskan sebuah fikiran yang berbeza daripada apa yang telah disogokkan oleh orang yang saya hadapi, saya dilihat sebagai mengkritik ataupun mungkin menimbulkan provokasi. Seperti yang pernah saya petik di sini sebelum ini, satu perkara berkenaan kebebasan bersuara ialah sekalipun anda bebas menyuarakan pandangan, tetap anda perlu mengiktiraf kebebasan bersuara pihak lain yang mana anda tidak bersetuju dengannya. Dalam hal ini, mengiktiraf secara berlapang dada.
Bagi saya secara peribadi, saya tidak ralat dengan perbezaan pendapat orang lain kalaupun itu secara total berbeza dengan apa yang saya terima selama perbezaan itu dirungkaikan dalam cara yang berhemah. Ini juga pernah saya perincikan sedikit di sini. Setidaknya, itu boleh buat kita berfikir tentang apa yang difikirkan oleh orang yang kita tidak tahu bagaimana sudut pandangnya terhadap sesebuah konteks.
Apabila seseorang melahirkan buah pandangnya (dalam kes ini, buah pandang yang berbeza dan provokatif), jika tidak dilihat secara berlapang dada mudah sahaja seseorang itu tergambar sebagai tunjuk pandai dan seolah-olah mahu mempamerkan intelektualiti tidak bertempat. Padahal si pemberi pandangan telah pun menyumbang kepada satu perkongsian wacana yang membuka ruang mencari titik pewajaran secara sihat. Jika pula si pemberi pandangan itu tersasar tajuk daripada apa yang dibincangkan dari awal, maafkanlah sahaja.
Ada rakan-rakan yang saya hadapi, apabila saya utarakan satu bentuk pandangan yang berbeza maka dengan profesional mereka terima (kalaupun tidak bersetuju), dan kemudian dalam cara yang tidak menyinggung sesiapa mereka berikan pula apa sebenarnya yang difikirkan. Jika saya salah, maka saya faham saya sedang salah. Percambahan fikiran jadi lebih sihat.
Ada pula dengan terang-terang menzahirkan pada raut wajah, dengan mata berair, dengan suara yang meninggi dan lebih lagi akan berlaku provokasi atau serangan peribadi padahal yang dibincangkan sebelum itu adalah hal yang tidak bersangkut paut dengan ‘awak atau saya’. Hal orang lain, hal negara, hal semasa semuanya untuk diperbincangkan dengan berlapang dada. Hal politik kepartian juga sepatutnya begitu, selama kita bukanlah orang yang berjuang di dalam parti politik itu sendiri.
Pokoknya, perbezaan pandangan bukanlah satu kerosakan. Dalam hal agama sekalipun, apabila pihak berautoriti dalam bidang agama dengan kecendekiaan masing-masing mula berbeza pandangan, orang yang tidak memiliki ilmu setinggi itu diberikan kebebasan untuk menilai dan menerima mana-mana satu daripada pandangan itu selama masih tidak berlawanan secara nyata dengan Al-Quran mahupun sunnah.
Perkembangan terkini, dalam negara kita kecoh di sana sini apabila ramai yang berbeza pandangan mengambil pendekatan melatah dengan pandangan pihak lain. Dalam sorotan yang mungkin berkepentingan, hal yang boleh diselesaikan secara aman pun dipolemikkan dan dipolitikkan. Sehingga seolah-olah tergambar bahawa perbezaan pandangan perlu dikekang untuk kemaslahatan umum.
Sudahnya nanti akan ada ramai yang menerima bahawa untuk terus aman, tenang, berjaya dan kaya perlu menurut dan mengiyakan. Apabila ada yang berlawanan maka itu yang perlu ditentang. Harap-harap itu tidak berlaku, dan kalaupun sudah berlaku harap-harap tidak akan terus menerus memburuk.
Saya cuma boleh berharap kerana saya percaya, pebezaan pendapat itu satu rahmat selama ia dilandaskan dengan cara yang sebenarnya.


salam…
memang susah nak memenuhi kehendak hati semua orang. lebih teruk lagi jenis yang rasa lebih bagus dari orang lain. semua pandangan yang dilontarkan dianggap terbaik. yg lain walau hati berbuku tapi terhangguk-hangguk jugak. malas nak berlawan kata jd mengalah. tp kalau jumpa yg lebih emo…apa jadi ye…
lama dah tak dtg melawat ke sini…
Haizad,
Terima kasih kerana kembali walaupun dah agak lama blog ini tidak dikemaskini.
Saya pun terfikir juga tentang hal itu, berkenaan bagaimana mahu menangani orang yang teruk (jerk). Ada banyak buku yang berkaitan, nanti ada masa kita sama-sama cari dan sama-sama kongsi, ya. Dalam hal ini, rasa saya keterbukaan amat penting.