SAYA maknakan kasih dan tanggungjawab dalam dua kefahaman yang berbeza. Rasa kasih mekar disebabkan rasa rapat dan mahu. Kaitan emosi (boleh dibaca sebagai nafsu) dengan kasih sayang amat kuat. Tanggungjawab pula sesuatu yang hampir sama, tetapi tidak bersekali dengan emosi.
Saya tidak tahu jika keduanya memang asal wujud secara bersama, cuma yang saya sedar ada saatnya pemisahan yang wajar perlu dan boleh dilakukan ke atas keduanya. Untuk terus mengasihi dan untuk bertanggungjawab. Untuk berperilaku atas dasar kasih dan untuk berperilaku atas dasar tanggungjawab.
Apa sahaja yang dilakukan jika ada bersamanya emosi, maka yang mudah akan jadi rumit. Setidaknya jadi mengelirukan. Kewajaran pemikiran adalah berasas kepada nilaian betul salah dalam fikiran berdasarkan panduan dan daya fikir, yang pada masa sama diganggu secara tekal oleh emosi.
Saya diberitahu oleh seorang rakan, manusia lahir tanpa akal. Yang mengiringi kelahiran seorang bayi adalah nafsu. Paling ringkas untuk diperhatikan, nafsu makan. Selari dengan pertambahan usia, nafsu akan berkembang, maju dan bercambah ke tahap-tahap tertentu.
Nafsu itu panduan terbaik untuk mencari kesesatan. Akal manusia hanya akan wujud dan terbentuk dengan saranan wahyu, yang mana jika tidak disekalikan wahyu dalam pewajaran fikiran maka mustahillah nafsu dapat ditidakkan.
Seperti yang telah saya maknakan di atas, kasih itu berkadaran dengan nafsu dan tanggungjawab pula tidak. Mencari tanggungjawab dalam jalinan kasih akan diganggu dengan emosi yang bertelingkahan dan boleh membawa kepada kekusutan yang tidak terlerai.
Kekusutan itu, hanya akan terlerai dengan saranan wahyu. Cuma wahyu, tiada pilihan.


SALAM…
Apabila membaca tajuk, apa yang tergambar adalah berbeza dengan yang terhidang. Membezakan kasih dan tanggungjawab, perbuatan bijak pada saya. Namun, menyamakan nafsu dan emosi… ^^
Saya bersetuju, kadang pertimbangan akal dan ilmu tergolek dek kerana emosi. Namun, adalah satu jenayah jika terus menghukum emosi itu sebagai sesuatu yang sentiasa mengkelabutkan keadaan. Ada saatnya, emosi membantu menjernih keruh.Contoh, jika seseorang itu bersalah, dihukum salah kerna ilmu dan pertimbangan akal. Kemudian, datang emosi simpati. Lalu diberi pengampunan dan si pesalah tadi bertaubat…. itu yang ana cuba sampaikan. Emosi tidaklah diletakkan sebaga negatif secara total. Namun, masih tidak menolak kenyataan ‘emosi boleh mengakibat huru-hara’…^^
Ketika membaca tajuk, apa yang tergambar ialah persamaan antara tanggungjawab dan kasih pada perbuatan yang terlihat. namun, berlaku percanggahan nilai dalaman. Maksudnya begini….
Contoh:
Seorang isteri yang mengemas rumah, mendidik anak-anak, kelelahan mengrus keluarga. Perbuatan yang sama, namun tidak kita ketahui beliau melaksanakannya kerna tanggungjawab atau kerana kasih. Namun, perbezaan yang terselindung….
Jika beliau melakukannya kerna kasih, beliau redha dan berasa senang dengan tugas tersebut. Tidak mengharap si suami menghargai, atau anak-anak berterima kasih.
Jika pula beliau melakukan kerana rasa tanggungjawab, kerja-kerja tersebut menjadi beban yang melemaskan beliau. Berlakulah isu ungkit-mengungkit, rasa tidak dihargai, dan sebagainya…
Itu sekadar contoh. Maaf, terpanjang pula mengomen di sini. Sukar sebenarnya menstabilkan perasaan, beriktikad melakukan sesuatu kerana kasih. Ia mampu melahirkan keikhlasan. … ^^
Cikgu Eya,
Terima kasih untuk komen yang panjang kepada sebuah tulisan yang pendek.
Untuk contoh yang cikgu berikan itu, saya tidak ada komen. Jika benar itu yang lahir daripada maksud perbuatan seorang wanita, maka layaklah bagi wanita mendapat kebaikan daripadanya. Tulisan di atas tidak menyinggung keikhlasan orang yang punya rasa kasih.
Sekadar saya membezakan kasih dan tanggungjawab daripada makna peribadi. Suka saya ingat babak-babak cerita Anakku Sazali, yang mana bapanya dengan penuh kasih memberikan segala yang termampu dengan ikhlas kepada si anak. Tanggungjawab hanya dipisahkan dengan kasih pada babak terakhir bilamana itulah yang perlu dilakukannya dengan menidakkan emosi, walaupun itu bukan perkara yang mahu dilakukannya dengan kasih sayang.
Pada saya, kasih dan tanggungjawab memang sukar dibezakan. Kadangkala kita sendiri samar-samar, apakah yang kita lakukan dengan ikhlas itu atas dasar kasih ataupun tanggungjawab.
Cuma yang dapat saya rasakan, apabila ia kerana kasih rasa tidak sampai hati untuk lakukan sesuatu berlawanan dengan perasaan kasih itu (padahal itulah yang lebih baik) akan menyebabkan kita jadi lemah dan gagal untuk jalankan tanggungjawab. Rasa tidak sampai hati itu, adalah kerana emosi. Seringkali berhadapan dengan kasih dan tanggungjawab, saya sesat mencari penyelesaiannya. Kerana kasih, saya buntu untuk menidakkan tanggungjawab, dan jika itu tanggungjawab ralat pula saya meminggirkan kasih kerananya.
Pernah juga sekali saya berhemat, jika mahu melatih hati menjadi batu, boleh cuba bunuh sesuatu yang sedang disayangi tanpa menunggu ia pergi meninggalkan kita (semua yang kita sayangi tidak akan kekal kepada kita). Maksud bunuh di situ ialah, hentikan, keluarkan, hilangkan sesuatu yang sedang kita sayangi dengan satu alasan rasional tanpa diganggu perasaan emosional.
Saya masih gagal, dan bermakna saya masih lemah dikalahkan emosi.
Pun, saya tidak menyalahkan emosi secara total sebagai sesuatu yang negatif. Nafsu adalah kurniaan Tuhan kepada manusia untuk dikawal dan dijaga. Jadinya negatif apakala tidak dijaga dan dikawal pada landasan yang sepatutnya.
Begitulah adanya. Perbezaan pendapat, saya alu-alukan.