SAYA yang tidak banyak mengamati ilmu dan persekitaran ekonomi disapa oleh seorang sahabat dengan rasa kalut terhadap pengenalan cukai perkhidmatan dan barangan (GST), yang diura-urakan akan dilaksanakan oleh negara. Saya mendengar dengan kritis setiap keluhannya dan cuba memahami bahawa ini adalah reaksi terkejut seorang rakyat Malaysia yang tidak dicerahkan dengan penjelasan secara adil kepada tindakan dan dasar yang akan dilaksanakan oleh pihak berautoriti.
Daripada kebimbangan sahabat saya ini, dapat saya lihat dia sebagai seorang model rakyat Malaysia kelas pertengahan yang tinggal di ibukota, juga memiliki ilmu ekonomi pada kadar minima seperti amnya keadaan rakyat biasa lain, yang tidak semena-mena ingin berprotes terhadap keputusan pihak atasan atas rasa tidak puas hati dan rasa tertindas.
Sebutnya, apabila GST diperkenalkan maka setiap barangan (yang tidak dikelaskan secara jelas) akan dikenakan cukai. Setiap rakyat kaya atau miskin akan perlu membayar harga lebih kepada setiap barangan yang dibeli. Harga barangan secara pukal akan meningkat, rakyat jadi makin tersepit, kerajaan semakin untung dan tidak pula rakyat merasai kesan keuntungan kerajaan itu.
Ditambah pula dengan keadaan semasa di mana ura-ura tarif elektrik akan dinaikkan, ketiadaan (pengurangan?) bonus akhir tahun untuk kakitangan awam kerana keadaan ekonomi semasa, harga barang keperluan yang meningkat kesan daripada kenaikan harga minyak yang tidak turun-turun, harga hartanah (lebih-lebih lagi di ibukota) yang akan terus menuju ke tahap mustahil dimiliki rakyat berpendapatan rendah, maka kebimbangan sahabat saya ini nampak asasnya.
Dihuraikan keadaan negara lain yang mengamalkan GST dalam keadaan banyak kemudahan untuk rakyat diberikan percuma termasuk aspek kesihatan dan pendidikan sehingga rakyat dapat merasai sumbangan GST itu demi manfaat mereka secara keseluruhan. Ini semua yang saya dapat daripada seorang sahabat biasa, yang seperti juga ramai sahabat lain yang berminat mengambil tahu perkembangan persekitaran dan tidak kurang juga sering mengharapkan manfaat daripada setiap yang berlaku.
Saya memahami setiap yang berlaku, sama ada secara semulajadi ataupun kerana tindakan pihak tertentu, ada kebaikan dan keburukan yang boleh disesuaikan dengan keadaan diri secara peribadi. Ini tidak semestinya sama terhadap seorang berbanding seorang yang lain.
GST seperti yang dilaporkan media dikhabarkan sebagai bukan cukai baharu sebaliknya merupakan juga cukai jualan yang sedia ada, tetapi dalam bentuk yang diperluaskan kepada kelompok yang lebih besar. Daripada satu sudut pandangan, dilihat kelompok yang membayar cukai adalah kelompok yang layak dan kelompok yang tidak layak terlepas daripada dikenakan cukai walaupun menikmat perkhidmatan dan barangan yang sama. Media melaporkan, golongan pembayar cukai adalah golongan yang kecil berbanding keseluruhan rakyat dalam negara.
Media juga melaporkan jaminan kerajaan bahawa barangan keperluan seperti makanan, pertanian, pendidikan dan kesihatan tidak termasuk dalam kategori yang dikenakan GST. Untuk ini, sekurang-kurangnya sahabat saya tadi sudah tidak perlu bertegang urat menzahirkan rasa tidak puas hati jika maklumat ini sampai kepadanya sejajar dengan ura-ura pelaksanaan GST ini mencecah telinganya. Dia yang saya maksudkan ialah perlambangan rakyat, yang mana kita sendiri pun jika berminat dengan perkembangan persekitaran semasa yang mengesankan mana-mana aspek kehidupan seharian akan berminat mendapatkan maklumat melalui perbincangan dan perbualan sesama sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan. Ini dinamakan spekulasi.
Yang membangkitkan kebimbangan tidak lain adalah salah faham dan rasa tidak puas hati disebabkan oleh kekurangan maklumat dan penjelasan. Melalui media juga, saya dapati GST akan diperkenalkan pada akhir suku ketiga 2011 – satu waktu yang bukanlah dekat. Apabila tidak faham, dan diselarikan dengan kepincangan yang ada terpalit pada mana-mana isu negatif tentang dasar kerajaan maka rakyat dengan cepat mahu melatah.
Saya secara peribadi memahami, jika ini adalah amalan kebanyakan negara maju dan diterima secara adil oleh masyarakat lain maka keperluan untuk melaksanakannya bukanlah dikira keputusan yang silap – selama pelaksanaannya memberikan manfaat sama seperti yang diuar-uarkan sebelum dilaksanakan. Yang akan menjadi isu, bagaimana cukai yang dikeluarkan (baca: peningkatan pendapatan kerajaan) akan dipulangkan dalam bentuk yang ketara dan dirasai oleh rakyat biasa.
Itulah antara bentuk penjelasan yang perlu dibuat secara menyeluruh, buat meningkatkan kefahaman kami si hamba rakyat tentang sebarang dasar yang tuan sebagai pihak lebih atas ingin laksanakan atas kepentingan nasional. Setidaknya, rakyat tidak berspekulasi bilamana maklumat jelas dan terperinci tersedia secara terbuka dan ikhlas untuk difahami (dan kalau mungkin cuba disalah-fahamkan pula oleh mana-mana pihak).
Antara yang wajar kami tahu termasuk perincian manfaat GST kepada rakyat biasa, pihak yang mendapat keuntungan daripada GST, jaminan kerajaan bahawa tidak berlakunya kesempitan kepada rakyat apabila kos barangan dan perkhidmatan meningkat, dan semua perkara positif yang mungkin menafikan spekulasi kebimbangan rakyat. Lebih-lebih lagi rakyat mahukan peningkatan taraf hidup supaya tidak terbeban dengan persekitaran yang tidak berkadaran langsung dengan pendapatan di dalam poket. Maksud di sini, rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang bukan golongan minoriti di Malaysia.
Supaya kami tidak perlu berspekulasi dan tidak pula dihasut supaya mempercayai spekulasi.

