SAYA tekuni sebuah tulisan, belum pun habis baca namun sudah berlarian butir akal yang mahu saya catatkan semula sebelum saya lupa. Ini berkenaan hal membangkitkan cerita ceria dalam interaksi, lebih-lebih lagi dalam hal berhubung dengan manusia yang bekerja bersama-sama kita.
Saya pernah (dan masih) mengenali seorang teman, yang boleh saya katakan mewah dengan jenaka. Akan hal yang kecil pun boleh diceriakan dengan jenaka yang selalunya (kalau pun tidak semuanya) mengesankan dan memaniskan suasana. Ini secara langsung membuatkan mesej yang terutara dalam situasi tersebut menjadi lebih mengesankan orang lain yang turut berada dalam situasi itu.
Pada saya berjenaka itu satu bakat, tetapi bukanlah bakat yang tidak boleh dipelajari. Saya maknakan berjenaka dalam konteks menggunakan humor secara bijaksana dalam sesuatu interaksi bersama manusia lain. Ini bertujuan membantu membangkitkan suasana ceria tanpa menjejaskan nilai serius pada mesej yang disampaikan lewat situasi yang sama. Berjenaka ini juga bukan sama sekali membawa maksud berlawak – yang boleh diumpamakan seperti lawak kering seorang badut.
Pernah juga teman saya yang seorang ini berpesan, seputar bakat dirinya yang kami puji ketika sedang bersarapan di satu meja beramai-ramai. Katanya, sungguhpun pada waktu anda sedang diketawakan akibat sindiran, maka jenakakan sahaja sindiran itu supaya lebih menyindir daripada sindiran yang asal. Ini merupakan bentuk tindakan bela diri yang baik, dalam menepis rasa aib sebaliknya meneutralkan dalam bahak-bahak ketawa orang lain.
Kami pernah beramai-ramai berlama-lama di satu meja selepas makan tengahari padahal warung itu sesak dengan pengunjung yang tidak cukup meja. Kami tidak perasan kerana waktu itu kami sedang ketawa besar dengan jenaka sang teman ini, berkenaan bas mini. Tiba-tiba, datang beberapa pelanggan kedai dengan pinggan dan cawan di tangan menegur, “Sudah selesai atau belum? Kami pun nak masuk ke pejabat juga.”
Maknanya, mereka mahu duduk di meja kami itu memandangkan kami cuma bermalas-malasan di meja setelah selesai menjamah hidangan. Saya waktu itu rasa sangat terkesan dengan teguran seperti itu di hadapan awam, apatah lagi memang jelas salahnya kami di situ. Sebaliknya teman saya ini terus menyambung jenakanya tentang bas mini dengan menjerit kuat, “Hah, sila-sila. Boleh masuk lagi, duduk, duduk!” dengan gaya konduktor bas.
Kami yang masih menyimpan ketawa di dalam mulut, terus gelak dan bangun dari meja itu dengan ketawa yang masih berbaki. Rasa-rasa, kami sudah selamat daripada rasa tersindir di hadapan awam dengan teguran itu. Dalam contoh situasi ini, orang yang menegur tadi mungkin rasa tersindir sama tetapi di sini terlihat jenaka boleh disesuaikan untuk menyelamatkan ego diri daripada tercicir jatuh ke kaki orang lain. Ya betul, ini bukanlah jenis jenaka yang sopan kerana membuatkan orang lain pula berasa jengkel.
Dalam satu cerita, ada seorang lelaki yang ingin memberi ucapan di hadapan khalayak. Tiba-tiba, kertas ucapannya tercicir dan bertaburan. Sedang itu, dia terbersin pula dalam keadaan mikrofon sudah sedia tersangkut pada baju. Elok sahaja dia mengutip kertas ucapannya, dan ingin memulakan sesi, mikrofon pula berkeriau menjerit nyaring. Jelas, itu satu permulaan yang gagal terhadapnya dalam sesi ucapan itu.
Setelah keadaan kembali terkawal, dia pun memulakan kata, “Jadi, bagaimana persembahan saya setakat ini?” Hadirin berasa lucu dan hal itu menamatkan rasa gagalnya terhadap kawalan suasana. Ucapan dapat disambung dengan sempurna selepas itu. Ini contoh yang lebih sopan darihal menggunakan jenaka dalam menutup rasa aib terhadap kesilapan sendiri.
Boleh saya katakan jenaka yang baik itu bersifat seperti andaman. Ia mencantikkan keburukan supaya pengamatan terhadap kekurangan dapat dialihkan. Wajah anda yang buruk, kalau diandam tebal maka pasti dilihat orang juga. Paling-paling pun orang akan berkata, ‘Wah merahnya gincu!’ atau ‘Fuh, bulu mata plastik!” Mungkin tiada lagi orang yang sibuk perhatikan jerawat batu ataupun hidung yang kembang pada wajah.
Sama halnya apabila kita telah lakukan kesilapan, untuk mengalihkan aib itu daripada pengamatan orang, jenaka adalah rahsianya. Saya memetik kata-kata ikon (yang agak dikenali) ini seperti berikut, “Apabila anda mentertawakan diri sendiri, maka orang lain akan berasa selesa untuk turut ketawa bersama anda.” Dalam hal teman saya yang saya ceritakan di atas, beliau mahir amat dalam mentertawakan dirinya sehingga orang lain turut tertawa apakala beliau tersindir di hadapan khalayak.
Pada saya, itu satu bakat. Tetapi bukanlah bakat yang tidak boleh dipelajari. Jenaka yang bijaksana, adalah juga kunci kepada kawalan suasana dan kawalan manusia secara lembut dan mengesankan. Jika saya ada lebih waktu, saya kupaskan lagi pandangan ini dengan rincian yang sewajarnya daripada amatan peribadi.


Bismillah….
Saya sememangnya meminati hasil tulisan tuan rumah, cuma saja jarang meninggalkan sebarang buah tangan. Kali ini, pemergian saya meninggalkan bekalan kerana mengetahui betapa pentingnya ‘bekalan’ tersebut kepada tuan rumah untuk menaikkan semangat bagi memakmurkan rumah ini.
Tahniah..
Biar saya teka, pelanggan yang menegur dan dilawakkan dengan gaya konduktor tersebut… beliau adalah seorang wanita, bukan?
n_n
__
Indrasakty: Terima kasih cikgu, atas kunjungan dan buah tangan yang ditinggalkan. Sangat dihargai. Pelanggan yang menegur itu lelaki kesemuanya. Kalau ditegur perempuan, rasa tersinggung akan jadi double.
huhuhuh…