Ini cuma sebuah cerita, boleh juga dianggap lawak jenaka. Jenaka kalau sekadar buat menjadi bahan ketawa maka tidak bergunalah jenaka itu, sebaliknya jenaka yang diciptakan harus pula mengandung makna yang kalau direnungkan, dapatlah manusia barang sedikit ilmu dan pengajaran.
Suatu hari seorang tuan kedai menjual burung didatangi seorang lelaki. Lelaki itu mahu membeli burung kakak tua yang pandai bercakap. Seperti yang ramai sedia maklum, dalam cerita rakyat tentunya burung kakak tua (atau burung apa pun) bijak dalam menutur kata-kata.
Si tuan kedai pun menunjukkan beberapa ekor burung kakak tua yang pandai berkata-kata. Salah seekornya ialah anak burung kakak tua yang hanya tahu mengikut apa yang disebut di hadapannya.
Lalu lelaki itu pun bersetuju seraya berkata, “Saya akan ambil anak burung ini kalau tuan boleh tunjukkan saya cara-cara bagaimana mengajar burung ini bercakap.”
Si tuan kedai pun selepas itu mengajarkan satu persatu langkah yang perlu dilakukan olehnya untuk membuat anak burung itu petah berkata-kata. Setelah berpuas hati, lelaki itu pun membayar sejumlah wang dan pulang.
Selang beberapa hari, dia kembali ke kedai itu sambil marah-marah dan berkata, “Anak burung itu langsung tidak mahu bercakap!”
“Sudahkah tuan lakukan setiap apa yang saya ajarkan itu?” soal si tuan kedai kehairanan.
“Ya, sudah tentu. Saya lakukan setiap satu tanpa gagal. Saya mahukan wang saya kembali!” bentak lelaki itu.
Tuan kedai itu pun berfikir sejenak dan kemudian cuba memujuk lelaki yang kemarahan itu.
“Saya fikir anak burung itu kesunyian. Ia perlukan teman. Mungkin tuan boleh letakkan cermin ini di dalam sangkarnya, dan dengan itu barulah ia akan rasa seperti berteman,” cadang tuan kedai seraya menghulurkan cermin yang elok buat diletakkan di dalam sangkar.
Lelaki itu pun bersetuju dan pulang. Selang beberapa hari, dia kembali dan meminta dipulangkan kembali wangnya. Anak burung kakak tua itu tetap tidak mahu bercakap.
“Kali ini saya fikir, tentu burung itu perlukan permainan. Barangkali ia bosan. Ini saya berikan loceng, tuan gantungkanlah di dalam sangkarnya,” tuan kedai masih mahu berdiplomasi.
Lelaki itu bersetuju dan pulang bersama loceng yang diberikan. Selang beberapa hari, dia kembali dan membawa sebuah kotak.
“Sudahkah burung itu bercakap?” sapa tuan kedai sebaik melihat lelaki itu.
“Tidak. Burung itu sudah mati. Kali ini saya betul-betul mahukan wang saya kembali,” kata si lelaki sambil membuka kotak yang berisi bangkai anak burung kakak tua itu.
Tuan kedai seakan tidak percaya lalu bertanya, “Benarkah burung ini tidak pernah berkata sepatah perkataan pun semasa bersama tuan?”
“Ada, burung ini cuma sempat berkata satu perkataan sahaja sebelum mati,” jawab si lelaki.
“Apakah perkataan itu?” soal tuan kedai lagi penuh minat dan rasa ingin tahu.
“M-A-K-A-N…”
Jadi menurut penulis asal cerita ini, begitulah juga peri pentingnya cerita dalam perbualan manusia seharian, seperti mana perlunya burung kakak tua diberi makan kalau mahu dia hidup dan bercakap. Cermin dan loceng hanya penggalak tetapi bukanlah penghidup yang boleh membuatkannya kekal sihat, gembira dan ceria.
Juga, dalam berkomunikasi kisah-kisah seperti ini yang diceritakan di samping memberikan fakta akan menghidupkan perbualan, di mana fakta semata-mata hanya merupakan penggalak kepada sesebuah komunikasi. Manusia mahukan teman bercakap yang ‘hidup’.
Cukup.

Sungguh seperti belajar berenang sampai pandai dan tidak lemas… menarik!
__
Indrasakty:
Kasihan, si tukang beli itu kurang berfikir dan si tukang kedai itu fikir si tukang beli tahu macam mana hendak membela binatang.
tetapi cerita ini menarik sekali kalau dibukukan ke?
__
Indrasakty: Ini memang cerita daripada buku-buku pengurusan yang sempat terakam masuk dalam kepala saya. Ya, buku-buku pengurusan yang membosankan apabila dibaca bukan dengan mood yang sepatutnya.
Bolehlah saya cerita kan kepada anak saya, setiap hari sebelum dia tidur. Suka juga dia. Tambah lagi cerita lain.
__
Indrasakty: Terima kasih berkunjung. Jika saya terbaca lagi cerita seumpama ini di mana-mana, pasti saya ceritakan semula di sini.
KENAPALAH DIA BODOH SESANGAT MAKHLUK HIDUP MESLILE NAK MAKAN
saya suka anak burung kakak tua awak tolong hantarkan di kuantan polis marin
__
Indrasakty: Ish, kamu ingat saya ni jual burung macam Abdul Wahab si peniaga kedai burung ke?
cerita ni best sanggat sebab mengisahkan dua org yg “kurang pandai” .
__
Indrasakty: Yang boleh saya kata Ridzuan, cerita ini ditulis dalam kisah yang memperlihatkan sikap manusia yang kurang berfikir tetapi makna yang dibawa bersama di sebalik cerita ini adalah untuk manusia lebih berfikir. Sungguh, memang tak ada orang yang sekurang pandai macam watak dalam cerita ini, sebab ini cuma sindiran.
Yang dimaksudkan ialah, pentingnya sesuatu yang asas kepada sesuatu subjek yang mana kita kemudiannya inginkan hasil daripada subjek itu. Kalaupun dalam komunikasi, kita mahu menyampaikan mesej dan fakta, harus tidak dilupa bahawa manusia memerlukan jenaka, humor dan cerita untuk menghidupkan perbualan, mood dan semangat. Begitulah diumpakan, sekadar apa yang saya faham.
Terima kasih sudi berkunjung ke sini.