SAYA tidak ada pengetahuan dalam ilmu seni visual, seni filem atau apa yang berkaitan dengannya. Entah apa sebabnya, memang saya tidak teruja dengan filem, drama, televisyen atau tayangan perdana cerita di pawagam. Kalau sudah ditonton, maka tontonlah sahaja dan kalau tidak tertonton, tiada rasa apa-apa.
Pernah juga saya cuba-cuba menonton wayang sebanyak tiga kali suatu waktu dahulu, tetapi itu tidak memberikan sebarang rasa suka ataupun rasa tidak suka. Sekali daripada tiga kali itu adalah pada waktu memonteng kelas hujung minggu sendirian kerana tiada jawapan yang boleh diberikan kepada pensyarah setelah tiada akal mahu siapkan tugasan. Itu pun kebetulan dalam perjalanan pulang, melintasi satu kompleks beli belah yang kelihatan mengujakan buat melepaskan rasa tegang yang bersarang.
Selepas itu saya barulah saya faham bahawa praktis tersebut rupa-rupanya tidak meredakan sebarang ketegangan.
Sebab yang lain saya tidak teruja dengan filem ataupun drama ialah kerana tidak berapa pandai menangkap unsur pelajaran yang dapat diambil daripada apa yang dipersembahkan. Semuanya hanya seperti satu hiburan yang selepas habis, maka habislah. Lebih teruk jika ia cerita Melayu yang dijayakan oleh Melayu yang lupa bahawa ada penonton seperti saya di dunia ini – yang mual dengan persembahan tanpa jiwa keagamaan dan sosiobudaya kemelayuan sebenar.
Saya menganggap pembikin filem dan drama Melayu masih berfikiran bahawa realiti kehidupan masyarakat adalah visual terbaik bagi dipertontonkan kepada khalayak supaya khalayak sedar akan betapa pincang dan kucar kacirnya hakikat sebuah realiti. Padahal saya pula berfikiran filem dan drama sepatutnya mendidik dengan mengeksploitasi medium hiburan buat memperbetulkan pendirian jiwa penonton secara tidak sedar.
Contoh mudah, menghidupkan realiti kerosakan budaya kehidupan remaja dengan motif supaya penonton tidak memilih jalan hitam, sebenarnya secara tidak sedar memperjelaskan kewujudan elemen tersebut kepada pengamatan penonton yang bukan semua menonton untuk belajar. Paling tidak, elemen negatif yang dipaparkan akan melekat dalam ruang minda penonton kerana itu lebih jelas daripada moral yang menuntut pemahaman.
Apa yang dilihat tentu lebih mudah diingati. Melihat perempuan berkemban, aksi peluk cium, merempit, rambut hijau kuning, berpakaian tidak sopan, tipu menipu, umpat mengumpat semua itu mudah meresap dalam sudut minda penonton kalaupun akhiran cerita tersebut penjahat mati, hero dapat kekasih ataupun semua watak insaf.
Ah, bohonglah kalau tidak mengaku dalam diri setiap manusia ada sisi hitam yang jika dicuit mencanak ia hidup. Rangsangan filem sepatutnya dengan niat menenggelamkan sisi hitam manusia ini, yang mana kalau ia terpendam biarkan ia pengsan. Kalau ia sedang hidup, sebaiknya lumpuh seluruh upayanya.
Baik, tulisan saya ini bukan untuk mencerca atau mengkritik drama atau filem Melayu di layar perak ataupun di kaca televisyen kerana saya sedar, saya tiada pengetahuan untuk mengkritik atau merendahkan semua itu. Apa yang paling layak saya perbuat ialah dengan berkata saya tidak suka.
Cuma keadaannya berbeza dengan drama Nur Kasih yang ditayangkan di TV3. Saya boleh katakan siri tersebut merupakan suatu bentuk pencerahan kepada budaya Melayu-Islam yang malap dalam kebanyakan siri tv Melayu kebelakangan ini. Ada yang berkata itu cuma rangkaian plot tipikal sebuah cereka Melayu biasa, tetapi bagi saya tidak.
Itulah sepatutnya dasar kepada kesantunan skrip bagi sebuah drama Melayu di mana identiti, adat dan budaya kemelayuan menjadi asas kepada sebarang konflik realiti yang juga ditonjolkan. Saya sendiri tidak tahu apakah masih ada kehidupan Melayu yang seperti itu dalam zaman ini, tetapi itulah yang perlu disogokkan kepada penonton yang sekarang semakin asyik dengan cereka yang rapuh dengan ruh dan semangat budaya dan agama.
Sungguh, bukan saya mahu katakan drama itu suci dan tidak pincang seinci pun. Saya perasan, seperti mana filem Ayat-ayat Cinta yang menghidupkan baris-baris plot novel Islami, tetap unsur Islam wujud seperti kosmetik. Ini di mana wataknya ditonjolkan patuh pada hukum yang sebenar, tetapi tidak pelakon. Dalam ayat mudah, watak-watak pandai menjaga aurat dan pergaulan dalam adegan, tetapi kita penonton faham di sebalik lakonan itu, para pelakon tetap mengesampingkan hukum apabila membawa watak mahram yang berpelukan.
Setidaknya, itu kelihatan pada pandangan manusia yang masih mahu berfikir. Bagi yang tidak sempat berfikir kerana terhibur dengan keindahan seni visual, adunan plot dan skrip yang memukau, unsur-unsur kesucian yang diangkat dan moral berlandaskan adat, budaya yang selari dengan agama, pasti merakam banyak kebaikan dalam minda walaupun secara tidak sedar.
Seperti mana mereka yang menonton cerita-cerita negatif yang membawa akhiran yang menginsafkan, keinsafan itu belum tentu menghakis paparan negatif yang mengujakan sepanjang perjalanan cerita itu. Apatah pula manusia yang dilengkapi dengan sisi hitam yang tersembunyi memang suka amat perkara begitu walaupun pada luarannya menolak. Maksud saya, manusia daripada kalangan sasaran penonton filem tersebut. Sudah tentu secara logiknya filem yang menunjukkan jalan hitam tidak disasarkan pada penonton yang ahli agama.
Saya berharap promosi percuma yang saya berikan ini akan dapat menarik ramai lagi orang menonton Nur Kasih, dan memberikan rating yang tinggi kepada drama ini. Maka jika drama sebegini mendapat sambutan, tentu banyak penerbit di luar sana akan tercuit untuk sama-sama cuba membuat lebih banyak drama dan filem yang seperti ini.
Sungguh saya semakin muak dengan cerita seram, hantu keliwon atau apa-apa bentuk saduran idea daripada populariti cerita hantu Korea, yang kononnya diadun dengan intipati tempatan dengan hantu-hantu daripada cerita karut orang dahulu. Tolonglah, semua itu tidak membina apa-apa dalam pemikiran penonton yang sepatutnya disajikan ilmu. Saya muak, dan saya harap ramai orang yang sama muak seperti saya.
Cukup.


aku tak cukup bijak untuk mengkritik. yang aku cuma mampu kata juga AKU TIDAK SUKA. dan aku boleh juga berkata YA untuk tulisan kau. aku setuju bila mana tulisan kau menyebut kebanyakan drama dan filem kita menggunakan elemen-elemen negatif kononnya untuk memberi kesedaran, tapi yang terjadi sebaliknya.
__
Indrasakty: Terima kasih berkata YA untuk tulisan ini. Lain orang, lain cara memahami. Cuma, apa yang kita yakin betul, maka kita perjuangkannya.
Hehe. Terima kasih kerana berjaya mencungkil sebab musabab mengapa menonton televisyen itu tiada menarik. Kali terakhir melihat cerita yang menarik adalah Kiamat Sudah Dekat. Dan kalau tidak silap, filem Malaysia yang terbaru Syurga Cinta juga meniru sebiji cerita Kiamat Sudah Dekat itu.
*Betul-betul menarik ke Nur Kasih itu Aidil? ^__^
__
Indrasakty: Ya, betul-betul. ^__*
Bila awak cakap pasal nur kasih, saya senyum sendiri dan tidak nafikan saya menggemari cerita itu. Sepanjang 5 episod cerita itu masih tiada cacat celanya.
Walaupun pemberi idea cerita asal, Mira mengatakan cerita ini bukan cerita dakwah tetapi cerita tentang kasih sayang dan kekeluargaan tetapi cerita ini tetap saya boleh letakkan dalam unsur dakwah juga.
__
Indrasakty: Ya, setakat ini masih cemerlang. Harap-harap sampai habis episod tiada cacat celanya. Jadi apa lagi, wooii kawan-kawan, tengoklah Nur Kasih. Terlepas episod di tv pun masih boleh streaming di web TV3 (promosi lagi – harap-harap Tiz Zaqyah berterima kasih kerana ini).
em..memang nurkasih nie satu drama paling best penah aku tengok..sbelm nie ada gak tengok drama melayu cam cerita wanita bernama aida yang menjadi org gaji kepada sebuah keluarga tetapi akhirnya keluarga tersebut bergantung hidup kepada aida..berbalik kepada nurkasih nie..seorang wanita taat kepada agama dan ibubapa dan seorang yg begitu sopan santun..tahniah kepada tiz..lakonan dia walaupun dia tidak seperti watak tersebut, tapi arap2 la dia praktikkan dlam realiti, begitu mantap!..tiz ada aura seperti mawi dulu..mintak2 la dia dpt pelakun wanita popular di next ABPH.
[...] Apa mahu dikira kerugian yang ditanggung penerbit akibat filem siap yang tidak lulus untuk tayangan. Kata orang, takut rugi jangan main judi dan kalau mahu berjudi pun, janganlah sampai memperjudikan kepentingan orang lain. Realiti memang sedap ditonton, sebaliknya realiti yang bobrok diperlihatkan secara terang nyata adalah juga satu bentuk promosi terhadap kebobrokan itu. Ini pun masih mahu kata filem sebegitu menekankan unsur moral di sebaliknya? Ah, malas sudah mahu cakap panjang. Sudah saya ngomelkan panjang lebar dalam tulisan yang lepas. [...]