LEWAT kebelakangan ini, saya semakin selalu dicuit rasa skeptikal dengan banyak manusia. Barangkali tabiat suka meragui adalah sifat percuma yang wujud dalam diri setiap insan. Entah bagus atau tidak, tetapi selalu amat perkara ini memberikan kesan yang jengkel.
Entah pertolongan rakan benar tulus atau apa udang sudah bermain sembunyi. Entah staf di pejabat betul kerja atau curi tulang di belakang pintu. Entah kontraktor ikhlas bermanis muka atau cuma mahu duit sebelum kerja. Entah gadis pejabat sebelah rajin bertanya soal mengurus manusia dengan SMS sampai ke malam atau sengaja mahu bermanja-manja. Entah seorang tua yang tiba-tiba hulurkan tangan sambil menyapa tanpa sebab memang mahu beramah tamah atau ah, entah apa niatnya.
Semuanya pun boleh diragukan kalau mahu.
Menelah perkataan dalam kepala manusia memang mustahil, dan andai yang ditelah itu benar maka memang ajaib. Menilai manusia daripada luaran juga sebenarnya bermain dengan perangkap. Persona yang ditunjukkan oleh setiap manusia yang berkelintaran di hadapan mata barangkali adalah camouflage yang bertujuan mengelirukan pihak lawan.
Cuma yang lebih mudah difahami, urusan hati manusia bukanlah termasuk dalam agenda tindakan manusia lain. Itu penilaian yang khusus dibuat oleh Tuhan.
Dalam satu kisah pada zaman Rasulullah (yang ingin saya ceritakan secara kasar tanpa fakta yang jelas kerana saya lupa), seorang musuh dalam peperangan yang hampir ditetak oleh seorang sahabat mengaku beriman kepada Allah. Maka sahabat itu tidak percaya lalu membunuh musuh itu.
Sampainya cerita ini ke pengetahuan Rasulullah, maka bertanyalah baginda mengapa sahabat itu tidak melepaskan musuh yang sudah mengaku beriman itu. Jawab sahabat, musuh itu mengaku beriman hanya kerana takut dibunuh, bukan ikhlas dari hati.
Maka dengan itu Rasulullah menegaskan bahawa urusan hati manusia lain adalah penilaian Allah, bukan untuk dinilai oleh manusia lain. Walau apa pun keburukan dalam hati manusia yang lain, Islam menganjurkan umatnya menilai dari aspek luaran.
Sungguh, golongan munafik yang berpura-pura tetap dilayan seperti sahabat dan bukan seperti musuh walaupun ada sesetengahnya memang diketahui oleh Rasulullah akan kemunafikannya. Ini kerana dari sudut luarannya, mereka tidak ubah seperti umat yang lain sungguhpun dalam hatinya Allah sahaja yang tahu.
Maka mengambil iktibar daripada penegasan itu, meragui niat dan hati manusia yang lain itu bukanlah perbuatan yang molek. Sungguhpun begitu, kami manusia yang miskin kekuatan tetap disahabati oleh perasaan itu yang jelek tetapi enak diperbuat. Ah, perilaku yang tidak baik memang enak apatah lagi disokong pula oleh nafsu dan syaitan yang direjam.
Tetapi kawan, berfikiran skeptikal itu barangkali molek jika didasarkan kepada tujuan berjaga-jaga. Bukan semua yang baik ditunjukkan kepada kita itu baik dari dalam isinya. Cumanya, mungkin kena dahulukan amalan berhemah dalam menghukum. Ya, manusia memang suka menghukum manusia lain walaupun tahu hukumannya tidak pernah adil.
Cukup.
__
*Rasulullah Sallallahualaihiwasallam (banyakkan bersalawat moga beroleh berkat)


ulasan yg menarik…
ya tujuan bersiap siaga itu baik walaupun meragui itu agak kurang menarik..
siapa yang tidak meragui teman baik sendiri pabila melihat dia begitu mesra&akrab dengan orang yg kita anggap seteru?
__
Indrasakty: Kita cuba berpada-pada dalam hal yang kita tiada pasti, ya.