SEWAKTU sedang melegakan haus pada lewat tengahari yang panas, sambil menemani rakan yang sedang makan, saya nyatakan bahawa saya mahu lebih berat badan.
Biasalah, dia yang sedang makan tentulah akan tanya soalan tipikal, mengapa tidak makan sekali. Jawab saya, kenyang sarapan tadi pagi belum habis lagi. Kalau makan tengahari pula, kenyangnya nanti sampai ke malam. Selera saya memang kecil.
Kemudian saya mengalih topik, tidak jauh cuma beberapa darjah dari topik yang asal. Kata saya, mahu cari vitamin yang boleh tambah selera.
“Aku mahu tambah berat badan, sebab aku rasa lebih berat akan menambahkan keyakinan. Kurus buat diri rasa tidak berkeyakinan,” jelas saya serius.
Rakan itu ketawa ikhlas sambil mulut penuh nasi.
Lalu beliau membuka kisah dirinya yang menjadi lebih gemuk setelah enam bulan berkahwin, yang mana keadaan itu tidak saya nafikan dari pengamatan mata. Nasib baik rakan saya ini seorang yang agak pandai juga menjaga perbualan. Dia tidak berlawak pada waktu yang tidak sesuai.
Bagi sesetengah orang, mungkin memberikan respon seperti ini: “Ah, kahwin saja cepat nanti boleh gemuk,” adalah satu bentuk lawak ringan yang santai, tetapi jika dalam situasi perbualan saya ini, itu agak keterlaluan. Hasrat yang saya suarakan bukan untuk dibalas dengan senda gurau yang ah, jengkel.
Tetapi rakan saya pandai menghormati hasrat hati saya yang serius, lalu mencadangkan vitamin Appeton yang ah, entah apa jenisnya saya pun sudah lupa butir katanya.
Berbalik kepada buah fikir yang saya berikan tadi, pada saya ada asasnya. Sesuatu yang dibanggakan terhadap diri sendiri pasti menimbulkan rasa yakin terhadap diri. Apabila menyedari kekurangan yang ada, semua itu berkadar langsung dengan keyakinan yang terkumpul. Dalam kes saya, kurus adalah sesuatu yang bukan perlu dibanggakan. Bagi kes wanita yang menganggap bentuk badan adalah mahkota kebanggaan dan keangkuhan, maka memiliki bentuk badan yang ideal itulah kelebihan. Lebihan berat badan adalah kekurangan bagi mereka (yang berfikiran begitu – bukan semua).
Begitu juga bagi mereka yang punyai suara yang keras dan lantang, berkata-kata akan jadi sesuatu yang mudah baginya. Menidakkan bicara orang lain, dan memenangi khalayak jadi lebih mudah berbanding mereka yang punyai suara halus dan tidak lunak. Suara yang ideal itu merupakan satu bentuk kelebihan yang menambahkan keyakinan dalam berkomunikasi. Apatah lagi apabila diri sendiri merasakan orang yang mendengar jatuh hati dengan suara yang lunak itu, walaupun sebenarnya tidak. Pokoknya, keyakinan terbentuk di situ.
Perkara yang sama berlaku kepada sesiapa yang merasai dirinya lebih kacak atau lebih cantik berbanding orang lain. Setidaknya, jika selalu dipuji oleh rakan taulan, maka seseorang itu akan rasa pujian itu adalah kerana kelebihan yang ada padanya dan nah, keyakinan bertambah lagi.
Akan tetapi, apabila seseorang yang sememangnya merasai ada kekurangan yang nyata terhadap dirinya, bukan sesuatu yang mudah baginya meningkatkan keyakinan diri sendiri selama masih belum mampu menidakkan rasa rendah dirinya terhadap kekurangannya. Kerana itu, rangsangan luar amat bermakna.
Justeru, banyakkan memuji rakan-rakan kita dalam perhubungan seharian apabila terlihatkan kelebihan yang ada pada mereka, meski kelebihan itu sekelumit cuma. Namun, memuji pun ada caranya supaya nampak ikhlas. Lain gayanya, lain yang jadi – mungkin dianggap mengampu, atau lebih teruk dianggap tiada modal lain nak dibualkan. Ini pun boleh mengundang rasa jengkel pihak lain.
Cukup.

