RAKAN-rakan di tempat saya bekerja baru-baru ini menganjurkan permainan indoor yang mana saya telah menunjukkan minat untuk turut mengambil bahagian. Yang amat saya ingati ialah permainan Dam Aji, di mana saya telah dipertemukan dengan seorang sahabat pada perlawanan akhir, dan kemudian kecundang.
Walaupun hadiahnya cuma tupperware, dan juga kalah menang itu adalah adat perlawanan, namun kekalahan itu tetap memberi kesan kepada saya. Barangkali saya tidak mudah menerima kekalahan, ataupun mungkin saya ralat dengan cara saya dikalahkan.
Dalam permainan Dam Aji, apabila pihak lawan memberikan peluang untuk makan buahnya, maka peluang itu tidak boleh disia-siakan. Mahu atau tidak perlu makan juga dan jika tidak, buah yang tidak memakan umpan itu akan ditarik keluar.
Kejam, ya dalam perlawanan memang perlu berlaku kejam. Dari itu, setiap pemain perlu merangka strategi dan menjangka pelan pemikiran pihak lawan, berdasarkan kemungkinan gerakan setiap buah.
__
Dalam satu perbualan bersama seorang sahabat rapat yang kebelakangan ini jalur pemikirannya semakin jauh dengan cara saya berfikir setelah usia menginjak dewasa, kami berselisih lagi.
Pada saya, cara berfikir yang menganalisa elemen negatif sebelum melakukan sesuatu itu sebenarnya membuatkan kita jadi takut dengan kemungkinan. Tetapi baginya, berfikir sebegitu perlu supaya kita jadi lebih berhati-hati. Bukan setelah terkena baru menyesal.
Sebarang kemungkinan negatif akhirnya akan membawa kita jadi takut untuk bertindak. Sudahnya, kita yang takut luka tidak berani mencuba kerana kita fikirkan dengan tidak melakukannya, kita akan kekal tidak terluka.
Menilai kata-katanya, saya akui saya bukan orang yang banyak berfikir tentang kemungkinan negatif terhadap tindakan yang akan saya ambil, kerana saya percaya dan optimis terhadap kemampuan diri. Mendepani natijah, bukan sekali saya tengadah dan berasa sesal dengan kegagalan. Tetapi saya tetap menganggap luka akan sembuh dan sakit akan pulih.
Sambil sebelah tangan menepuk dahi, tentulah kita masih ada lagi sebelah tangan untuk mengurut dada.
Kegagalan yang kecil membentuk kesediaan untuk menjadi kalis kepada kegagalan yang lebih besar. Jika rasa mampu hadapi kegagalan besar, maka lakukan sesuatu yang berpotensi membuahkan kegagalan yang kecil. Jika tidak, tidak perlulah lakukan apa-apa dan palingkan wajah ke arah lain.
Lalu saya ceritakan kepadanya, saya kalah dalam perlawanan akhir Dam Aji kerana terlalu berhati-hati. Kerana takutkan kalah dan risau buah dimakan lawan, saya tidak perasan peluang yang diumpankan kepada saya dan Aji saya ditarik.
Dari itu saya faham apa keburukan terlalu berhati-hati dengan perasaan takut melebihi perasaan optimis.
Mungkin kalah bermain dam bukanlah apa-apa. Tetapi ia sangat berkait dengan cara berfikir dan membuat keputusan. Dam dan catur tiada beza. Juga, percaturan kehidupan memerlukan tindakan dan keputusan. Silap keputusan, silaplah akibat.
Tetapi kata saya kepadanya, kalah dimakan lebih baik daripada kalah Aji ditarik. Tidak bergerak belum tentu tidak kalah.
Maksud saya, kalah setelah berusaha itu setidaknya lebih nyaman daripada kalah kerana takut membuat keputusan. Kita yang takut terluka tidak berani mencuba kerana kita fikir dengan tidak melakukannya, kita akan kekal tidak terluka. Sayangnya, dengan tidak melakukan apa-apa pun belum tentu kita tidak terluka.
Kata orang, takutkan ombak jangan berumah di tepi pantai. Takut terbakar, jangan pula bermain api. Takut terhiris jangan berani bermain pisau. Takut kalah, jangan cuba main judi. Takut dimakan lawan, jangan main dam.
Cukup.


Betul, ada masanya kita sukar menerima kekalahan.
Selalu teringat kata-kata ini “Orang hanya akan ingat pemenang pingat emas bukannya pingat perak”
__
Indrasakty: Kalau macam itu, mari kita jangan menang untuk diingati orang. Demi Tuhan saja pun cukup.
Sukar menerima kekalahan apabila sudah terbiasa dengan menang. Dan sukar menerima kekalahan kerana terlalu yakin dengan kemenangan yang akan dicapai oleh diri.
Bersederhana dalam ‘yakin’.
Saya suka dam ular. Ada masa dapat naik dengan cepat. Ada masa jatuh ke bawah dengan cepat juga. Nasib.
__
Indrasakty: Dam ular lebih thrill. Suspense dan mendebarkan. Setiap kali lambung dadu mesti berdoa dulu.
jgn berputus asa.kalah x semestinya kalah selamanya.byk berfikir sebenarnya ibarat menyediakan pelbagai keputusan yg mungkin dan tidak mungkin berlaku sebelum dan selepas menghadapi sesuatu.mana2 pujangga dan ahlifikir kerap kali menekankan perkara sebegini.”less talk more thinking”,”talkative to uphold the thruth”.
__
Indrasakty: Jas, tulis buku mahu?
kalah menang tu adat pertndngn..
tp,kite xleyla nk cpt putus asa kan..
DUIT..
D-DOA
U-USAHA
I-IKHTIAR
T-TAWAKKAL