TERTARIK amat saya dengan kata-kata seorang ustaz yang rajin datang setiap Rabu memberi kuliah di masjid kami. Tidak pula saya mengambil maklum akan nama ustaz itu, jadi elok saya namakan sahaja beliau sebagai Ustaz Rabu di sini.
Ustaz Rabu ini adapun orangnya hafiz al-Quran. Belajarnya di Madinah dan daripada gaya cakapnya, beliau seperti ahli juga dalam hal mengubat orang. Seperti orang lain, apabila melihat tingginya ilmu yang ada pada sesetengah orang maka saya juga berasa iri dan kagum.
Kata Ustaz Rabu, beliau ingin kalau semua yang ada di hadapan beliau itu paling tidak, tahu mengubati diri sendiri dan lebih lagi, anak, isteri dan keluarga sendiri. Maksud mengubat yang saya bawakan ini adalah dalam konteks seperti yang saya maksudkan di sini.
Adapun Ustaz Rabu ini daripada percakapannya, dapat saya faham bahawa yang beliau gunakan hanyalah ayat-ayat al-Quran semata dan dipadukan dengan keyakinan terhadap perkenan Allah s.w.t. Tidak langsung beliau membawa saranan yang bertentangan dan meragukan, seperti sesetengah orang yang suka berteman dan berdamping dengan sebarang makhluk mahupun khadam.
Secara dasar, al-Quran itu sendiri diturunkan sebagai penyembuh atau penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman (al-Israa’: 82). Dalam banyak hal pun, ubat juga sifatnya bukan penyembuh sebaliknya sebagai bentuk usaha sebelum bertawakal dengan ketentuan Allah. Sembuh atau tidak, bukan kuasa sang ubat yang sifatnya adalah makhluk – diciptakan oleh manusia pula.
Berbalik kepada cerita Ustaz Rabu, sungguh beliau tidak menyarankan sebarang bentuk pergantungan atau perkaitan dengan makhluk asing (halus) dalam mengubati penyakit mistik. Maka ini menjadi butir penguat terhadap saranan saya kepada seorang sahabat yang tiba-tiba mengajukan saya soalan tentang teknik ‘menurun’.
Menurut sahabat itu, sahabatnya ada berjumpa dengan seorang dukun yang gunakan cara penuh islami dengan doa, solat dan nasihat. Ajaibnya, apabila tiba waktu kemuncaknya, dukun itu akan memanggil ‘sheikh’-nya datang meresapi jasad dan berkata-kata terus kepada si pesakit.
Dengan ilmu yang cetek dalam kolah kefahaman dangkal saya, terus terang sahaja saya berhikmah kepadanya. Selain jin, mungkin tiada unsur lain yang boleh menjadi calon bagi dipadankan dengan sheikh si dukun itu. Ruh sudah tentu terhijab dengan dunia manusia dan wali setahu saya manusia biasa yang mencapai darjat tinggi dalam ibadat.
Tanya-nya lagi, apa pula kesnya dengan jin Islam. Mudah saya menjawab, sedangkan manusia yang Islam pun ada yang jadi hantu inikan pula jin. Teringat akan saya dengan pesanan Ustaz Rabu, jika mahu berkawan dengan jin, bukanlah tidak boleh. Tetapi jangan sampai menyuruh sang jin itu melakukan apa-apa kehendak kerana jin itu nanti minta balasan.
Lain pula lagi halnya dengan seorang rakan pejabat yang gatal mahu bertukar ke Sabah kerana kononnya bosan dengan hidup di ibukota. Apabila rakan-rakannya momokkan dengan cerita karut, tentang ilmu pendinding dan khianat orang, dia mula takut dengan fikiran yang bukan-bukan.
Respon saya cukup mudah. Pada orang yang tidak terkait dan mencuba-cuba berkenalan dengan alam mistikus ini, tentulah tidak ada ujian yang datang (dengan izin Allah). Luruskan sahaja hati dan yakin dengan lindungan Allah, tiada apa yang mahu dirisaukan.
Bezanya kalau yang memang ada sekelumit ilmu atau jenis yang memang ditakdirkan Allah untuk bertemu dengan sekalian hal ini, maka redhalah sahaja dengan sudi yang bakal menjelang.
Alam ghaib itu wajib diimani dan perkara ghaib itu wujud walaupun tidak kelihatan. Seperti udara dan elektrik yang wujud walau tidak kelihatan, maka begitulah juga dengan unsur mistikus yang disembunyikan Tuhan dalam dunia yang berwarna warni ini.
Cukup.


kadangkala manusia sedar akan kebenaran perkara ghaib.akan tetapi hasutan syaitan menyebabkan manusia itu menyimpang dari haluan asal…