KATA seorang datuk menteri yang entah macam mana saya boleh tiba-tiba berada di dalam majlis tempat beliau berucap, ‘Jangan anggap saya seperti seorang ketua, sebaliknya anggaplah saya seperti seorang rakan sekerja.’
Saya tidak pernah sedar sejak bila saya jadi pandai bercakap. Maksud saya pandai bercakap ialah seperti maksud seorang wakil rakyat yang pandai bercakap. Persekitaran banyak mempengaruhi cara manusia berfikir dan lebih lagi, cara manusia menanggap setiap isu di hadapan mata dan akalnya.
Sejak saya mula bercampur dengan teman-teman yang arah minatnya menghala ke sesuatu aspek yang saya tidak pernah terfikirkan pun, saya semakin lama jadi pandai bercakap tentang aspek itu seperti mereka yang sering bercakap-cakap di hadapan saya.
Ditakdirkan Tuhan, saya tidak pernah pula bergaul dan berhubungan rapat dengan datuk menteri yang pandai bercakap-cakap seperti itu, jadinya tidak pandailah saya memberikan kata-kata indah nan berperi seperti beliau dan rakan-rakan beliau yang seangkatan.
Pun begitu, dalam banyak hal yang diucapkan oleh beliau, yang dibalas dengan juih bibir ke bawah oleh lelaki yang duduk di hadapan saya, kata-katanya yang saya petik itu amat saya berkenan. Mungkin kerana pemikiran siasah saya tidak mendominasi ta’akul terhadap unsur positif, maka saya tidak cenderung untuk mempersampahkan segala apa yang keluar dari mulut seorang datuk menteri.
Sewaktu memperkenalkan seorang gadis yang sepatutnya menjadi staf di bawah seliaan saya kepada bos tempat saya bekerja, bos itu memberi ingatan, “Hendaklah kamu sentiasa belajar dan merujuk kepada ketuamu ini. Lebih daripada itu, pintu saya ini setiasa terbuka untuk kamu.”
Saya suka kata-katanya itu. Ketua yang menjadi sahabat kepada anak seliaannya ialah ketua yang saya kira terbaik. Kerana itu, saya faham kalau ada ketua yang zahirkan rasa ikhlas untuk anak-anak seliaannya, demi sikap setiakawan dan menolak kepentingan sambil tidak berasa kecewa. Barangkali-lah.
Tetapi, rasanya sudah selalu saya dengar kalimah yang mengatakan pemimpin yang bersahabat dengan rakyat maka itulah pemimpin yang menjiwai rakyat. Cuma yang terzahir bukan semuanyalah begitu. Tidak kurang banyak yang berkata-kata memang cukup berdegar-degar, sayang hampas juga yang terhasil.
Sebelum saya secara tidak sedar menyalahkan orang lain, elok dahulu saya amalkan apa yang saya faham ini. Sebelum saya kononnya mahu mengkritik kelemahan pihak lain, seeloknya saya perbetulkan kelemahan sendiri.
Kalaupun kita tidak suka dengan budaya pihak lain, mungkin bukan kuasa kita mahu mengubahnya. Sebaliknya tidaklah harus kita lupa bahawa semua itu molek kita perbetulkan kepada mereka yang di bawah kuasa dan pengaruh kita. Supaya apa yang tidak elok, tidak kita amalkan dan tidak pula anak-anak kita amalkan.
Cukup.


senyum lebar bila membaca entri ini