KITA sering tidak menyedari nilai sebenar akan apa yang kita ada, sehinggalah kita kehilangannya.
Saya bukan ahli ekonomi mahupun ahli dalam bidang perancangan kewangan. Cuma, secara tidak ingin menafikan kepentingan aset kekal dalam kehidupan manusia di alam material ini, minat pula saya bawakan satu sudut fikiran berkenaan aset yang lebih bernilai berbanding tanah, rumah dan saham-saham.
Ini saya petik daripada satu majalah mingguan yang tersenarai dalam produk menyokong Israel, yang perlu diboikot. Yang perlu diboikot ialah nilai wang yang mungkin dialirkan kepada mereka, bukan ilmu yang dapat kita kaut daripadanya.
Kerja yang manusia mampu lakukan, itulah aset baharu yang jika belum ada sesiapa menyedarinya. Sering kita dengar bahawa, hidup makan gaji bukan satu pilihan kalau mahu mencapai kebebasan kewangan. Ada yang menyarankan jika kerja, maka kerjalah juga tetapi jangan lupa berniaga.
Ada juga pendapat ahli kewangan bahawa pendapatan pasif itu terlebih penting dalam menjana aliran wang tanpa had. Pendapatan pasif saya takrifkan sebagai strategi mengumpan sumber kewangan sambil bergoyang kaki. Mencari downline dalam perniagaan MLM terkemuka, atau menulis buku / album / lagu yang memberi pulangan royalti di kemudian hari adalah antara contoh pendapatan pasif.
Juga menceburkan diri dalam bidang pelaburan hartanah. Kepada sahabat di luar sana yang masih muda belia, mempunyai pendapatan lebih daripada keperluan, belum terjebak ke dalam hutang piutang mahupun sebarang skim cepat gila atau sebagainya, silalah tuan berfikir serius dalam hal pelaburan hartanah.
Selepas tahun 2006, sejak RMK-9 mengambil tempat dalam tamadun pemikiran rakyat Malaysia, istilah modal insan menjadi salah satu istilah sedia-faham yang tersimpan dalam bank minda rata-rata daripada kita. Bagi yang tidak (mahu) sedar, mereka menganggap hartanah itu bernilai, modal berbentuk material itu bernilai tetapi tenaga kerja, siapa peduli?
Jika kita mahu memahami konsep aset baharu yang sepatutnya menjadi pegangan teratas dalam sistem pencarian sumber hidup manusia yang dihimpit cabaran ekonomi era kapitalis ini, maka kita perlulah faham akan konsep kerjaya sebagai aset.
Kerjaya itu saya tidak maksudkan posmen, doktor, peguam, mekanik, pemandu lori atau sebagainya. Kalau bukan dalam kategori perkhidmatan awam (atau istilah lebih mudah kakitangan kerajaan), maka semua jawatan itu mungkin boleh wujud atau mungkin boleh hanyut tanpa jaminan. Akan tetapi, kemahiran yang ada dalam pada kita melakukan kerja seharian kita, kekal bersama kita walau ke mana langkah dihalakan.
Hartanah yang tuan beli, mungkin akan menguntungkan anak cucu dan keturunan pusaka tuan, namun buat diri sendiri itu adalah jerut di leher jika dilihat nilai hutang yang berganda daripada nilai semasa hartanah tersebut. Dalam kes tuan merancang untuk mati awal dan biarkan takaful melunaskannya bagi pihak waris, maka itu cerita lain.
Sebaliknya jika kerja yang dilakukan secara serius sehari-hari, yang memberikan pendapatan tetap atau boleh dijangka, digilap pula dengan pembangunan kemahiran secara konsisten, secara tidak sedar itulah aset yang lebih berharga. Letaklah di bucu dunia yang mana pun, tetapi dengan kemahiran dan kemampuan yang ada dalam diri, tuan pasti mampu mengejar nafas di dunia yang menuntut ringgit dan sen terhadap setiap sesuatu.
Maka kawan, dalam pada sibuk mengejar aset material, beringatlah mengumpul aset spiritual. Dalam pada sibuk menambah kelengkapan sokongan kehidupan, demi hobi, minat dan keghairahan material, beringatlah untuk melaburkan ringgit dan sen yang ada buat menambah kemahiran dan keupayaan diri dalam mengusahakan sesuatu.
Harta perlu dijaga oleh si empunya, sebaliknya ilmu menjaga empunyanya.
Dan oh ya, ini diungkapkan oleh ahli ekonomi Universiti John Hopkisn, Christopher Carrol. Anggapkan gaji yang tuan dapat daripada kerja seharian itu sebagai dividen kepada saham yang tuan miliki. Saham itu, tidak lain dan tidak bukan adalah kemahiran yang dipraktikkan secara bijaksana dalam kerja yang tuan lakukan sehari-hari.
Cukup.


bravo…