Feeds:
Kiriman
Komentar

Bermain Dengan Jenaka

Saya tekuni sebuah tulisan, belum pun habis baca namun sudah berlarian butir akal yang mahu saya catatkan semula sebelum saya lupa. Ini berkenaan hal membangkitkan cerita ceria dalam interaksi, lebih-lebih lagi dalam hal berhubung dengan manusia yang bekerja bersama-sama kita.

Saya pernah (dan masih) mengenali seorang teman, yang boleh saya katakan mewah dengan jenaka. Akan hal yang kecil pun boleh diceriakan dengan jenaka yang selalunya (kalau pun tidak semuanya) mengesankan dan memaniskan suasana. Ini secara langsung membuatkan mesej yang terutara dalam situasi tersebut menjadi lebih mengesankan orang lain yang turut berada dalam situasi itu.

Pada saya berjenaka itu satu bakat, tetapi bukanlah bakat yang tidak boleh dipelajari. Saya maknakan berjenaka dalam konteks menggunakan humor secara bijaksana dalam sesuatu interaksi bersama manusia lain. Ini bertujuan membantu membangkitkan suasana ceria tanpa menjejaskan nilai serius pada mesej yang disampaikan lewat situasi yang sama. Berjenaka ini juga bukan sama sekali membawa maksud berlawak – yang boleh diumpamakan seperti lawak kering seorang badut.

Pernah juga teman saya yang seorang ini berpesan, seputar bakat dirinya yang kami puji ketika sedang bersarapan di satu meja beramai-ramai. Katanya, sungguhpun pada waktu anda sedang diketawakan akibat sindiran, maka jenakakan sahaja sindiran itu supaya lebih menyindir daripada sindiran yang asal. Ini merupakan bentuk tindakan bela diri yang baik, dalam menepis rasa aib sebaliknya meneutralkan dalam bahak-bahak ketawa orang lain.

Kami pernah beramai-ramai berlama-lama di satu meja selepas makan tengahari padahal warung itu sesak dengan pengunjung yang tidak cukup meja. Kami tidak perasan kerana waktu itu kami sedang ketawa besar dengan jenaka sang teman ini, berkenaan bas mini. Tiba-tiba, datang beberapa pelanggan kedai dengan pinggan dan cawan di tangan menegur, “Sudah selesai atau belum? Kami pun nak masuk ke pejabat juga.”

Maknanya, mereka mahu duduk di meja kami itu memandangkan kami cuma bermalas-malasan di meja setelah selesai menjamah hidangan. Saya waktu itu rasa sangat terkesan dengan teguran seperti itu di hadapan awam, apatah lagi memang jelas salahnya kami di situ. Sebaliknya teman saya ini terus menyambung jenakanya tentang bas mini dengan menjerit kuat, “Hah, sila-sila. Boleh masuk lagi, duduk, duduk!” dengan gaya konduktor bas.

Kami yang masih menyimpan ketawa di dalam mulut, terus gelak dan bangun dari meja itu dengan ketawa yang masih berbaki. Rasa-rasa, kami sudah selamat daripada rasa tersindir di hadapan awam dengan teguran itu. Dalam contoh situasi ini, orang yang menegur tadi mungkin rasa tersindir sama tetapi di sini terlihat jenaka boleh disesuaikan untuk menyelamatkan ego diri daripada tercicir jatuh ke kaki orang lain. Ya betul, ini bukanlah jenis jenaka yang sopan kerana membuatkan orang lain pula berasa jengkel.

Dalam satu cerita, ada seorang lelaki yang ingin memberi ucapan di hadapan khalayak. Tiba-tiba, kertas ucapannya tercicir dan bertaburan. Sedang itu, dia terbersin pula dalam keadaan mikrofon sudah sedia tersangkut pada baju. Elok sahaja dia mengutip kertas ucapannya, dan ingin memulakan sesi, mikrofon pula berkeriau menjerit nyaring. Jelas, itu satu permulaan yang gagal terhadapnya dalam sesi ucapan itu.

Setelah keadaan kembali terkawal, dia pun memulakan kata, “Jadi, bagaimana persembahan saya setakat ini?” Hadirin berasa lucu dan hal itu menamatkan rasa gagalnya terhadap kawalan suasana. Ucapan dapat disambung dengan sempurna selepas itu. Ini contoh yang lebih sopan darihal menggunakan jenaka dalam menutup rasa aib terhadap kesilapan sendiri.

Boleh saya katakan jenaka yang baik itu bersifat seperti andaman. Ia mencantikkan keburukan supaya pengamatan terhadap kekurangan dapat dialihkan. Wajah anda yang buruk, kalau diandam tebal maka pasti dilihat orang juga. Paling-paling pun orang akan berkata, ‘Wah merahnya gincu!’ atau ‘Fuh, bulu mata plastik!” Mungkin tiada lagi orang yang sibuk perhatikan jerawat batu ataupun hidung yang kembang pada wajah.

Sama halnya apabila kita telah lakukan kesilapan, untuk mengalihkan aib itu daripada pengamatan orang, jenaka adalah rahsianya. Saya memetik kata-kata ikon (yang agak dikenali) ini seperti berikut, “Apabila anda mentertawakan diri sendiri, maka orang lain akan berasa selesa untuk turut ketawa bersama anda.” Dalam hal teman saya yang saya ceritakan di atas, beliau mahir amat dalam mentertawakan dirinya sehingga orang lain turut tertawa apakala beliau tersindir di hadapan khalayak.

Pada saya, itu satu bakat. Tetapi bukanlah bakat yang tidak boleh dipelajari. Jenaka yang bijaksana, adalah juga kunci kepada kawalan suasana dan kawalan manusia secara lembut dan mengesankan. Jika saya ada lebih waktu, saya kupaskan lagi pandangan ini dengan rincian yang sewajarnya daripada amatan peribadi.

Lanjutan daripada tulisan saya di sini, tentang pandangan peribadi saya berkenaan isu istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia, saya berpeluang bertukar pendapat tentang itu bersama dengan orang yang saya kira lebih arif di laman Facebook Tuan Marsli N.O.

Ini satu bentuk percambahan pendapat yang sihat, di mana pencerahan yang diberikan boleh dijadikan asas untuk kajian lebih mendalam bagi tujuan pemahaman dan penerimaan. Saya yakin Tuan Marsli N.O, Puan Nisah Haron dan Puan Zaiton Abu Samah tidak mengenali saya pun. Tetapi kami dapat bertukar pandangan secara sihat di situ.

Saya sekadar mahukan rasionalnya kenapa bahasa Melayu tidak perlu disebut sebagai bahasa Malaysia kerana saya berasional seperti ini.

Saya tampalkan semula isi perbincangan itu, buat dijadikan rujukan. Laman asal di sini (boleh dicapai bagi sesiapa yang berada dalam senarai rakan FB Tuan Marsli N.O).

__

Marsli N.O: Perasan tidak atau sengaja buat tidak perasan. Facebook menyebutnya bahasa Melayu dan tidak bahasa Malaysia. Peduli apa kalau orang kata aku rasis.

Aidil Khalid: Perlembagaan Persekutuan pun menyebutnya bahasa Melayu. Orang yang berkeras nak menyebutnya bahasa Malaysia adalah orang yang tak hormat perlembagaan.

Zaiton Abu Samah: Betul. Bahasa Melayu. Satu dunia sebut bahasa Melayu. Itu sahajalah yang menentukan bangsa Melayu. Hilang Melayu apa yang tinggal?

Mohd Tarmizi Bin Hasrah: Tersangat SETUJU dengan saudara Marsli. Memang istilah yang paling tepat ialah bahasa Melayu sesuai dengan sosio-sejarah rantau ini dan istilah itulah yang diguna dalam perlembagaan. Buat apa nak tukar-tukar lagi sekarang bukan masa untuk itu. Yang paling utama sekarang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sejajar dengan saranan Dr. Shaharir.

Nisah Haron: Dan orang yang tak hormat Perlembagaan Persekutuan itu membayangkan Dasar Pelajaran Kebangsaan lebih besar dari itu. Dia suka benar dengan istilah Bahasa Malaysia (yang pernah wujud tapi telah pun dikuburkan). Kalau bukan orang Melayu yang peduli dengan Bahasa Melayu dan mengakuinya sebagai Bahasa Melayu, siapa lagi?

Dirgahayu Bahasa Melayu!!!

Khairulhak H.: Maaf, kenapa perlu dibezakan?

Jika disebut bahasa Malaysia, itulah bahasa Melayu. Jika disebut bahasa Melayu, di Malaysia itulah bahasa Malaysia.

Salahkah pendapat saya?

Nisah Haron: Ini persoalan roh dan semangat Bahasa Melayu. Hanya yang punya jati diri akan dapat merasakannya. Konotasinya juga berbeza.

Aidil Khalid: Khairulhak, kalau boleh dibuat perbandingan, seolah-olah di Australia kita memanggil bahasa Inggeris sebagai bahasa Australia, dan bukan bahasa Inggeris.

Khairulhak H.: Jadi apa pula pendapat puan jika dikatakan penggunaan B. Malaysia atas alasan perpaduan dan juga untuk lebih merakyatkan BM, sebagai satu usaha ‘reverse-psychology’ terhadap penutur BM dari kalangan bukan Melayu.

Bukankah ruh bahasa tidak terhakis selama bahasa itu sendiri, tatanya, langgamnya, juga segala aspek berkaitan bahasa itu masih sama.

Cuma istilah yang berbeza, dan bukan pula menolak istilah Melayu, sekadar menggunakan kedua-duanya mengikut konteks yang sesuai.

Khairulhak H.: Aidil, apa pendapat tuan dengan bahasa Indonesia – dalam perbandingan yang sama.

Nisah Haron: Sdr Khairul, perasan tak: semasa kita menggunakan istilah Bahasa Melayu pada tahun-tahun 50-60-an perpaduan antara kaum lebih utuh. Sewaktu menggunakan Bahasa Malaysia (selepas 13 Mei), perpaduan kita terus terjejas hingga kini. Oleh itu, menjadikan BM itu Bahasa Malaysia jelas tidak mampu mewujudkan perpaduan pada makna hakikinya. Asalnya memang Bahasa Melayu – seperti juga budaya Melayu, mana ada budaya Malaysia? Dasar Kebudayaan Kebangsaan juga kucar-kacir.

Zaiton Abu Samah: Dahulu nama negara ini Tanah Melayu. Kita terpaksa menerimanya menjadi negara Malaysia. Sekarang ini bahasa Melayu mahu dijadikan bahasa Malaysia. Apa lagi yang tinggal? Baju Melayu? Tarian Melayu? Kuih Melayu? Apakah maruah bangsa itu boleh diletakkan begitu rupa? Bahasa menunjukkan bangsa. Memang benar kita hendak menyatukan rakyat Malaysia, tapi ada cara lain. Tak perlulah kita mengorbankan lagi nama bahasa kita. Saya orang Melayu dan bahasa saya bahasa Melayu.

Khairulhak H.: Oh ok. Nampak rasionalnya. Mungkin benar, perpaduan kaum sejak 13 Mei (barangkali) seolah api dalam sekam. Dalam hati masing-masing kita tak tahu.

Namun perbandingan kaum 50-60-an, saya nampak nyata berbeza. Keterbukaan dan inteletualiti waktu itu jauh bezanya dengan sekarang.

Yang baik waktu itu baiknya untuk semua. Yang (barangkali) baik waktu ini, jika jelas tidak menguntungkan sesetengah pihak, dan pihak itu lebih terbuka untuk menolaknya.

Perbezaan pendapat sebenarnya mengguris, lebih lagi apabila melibatkan isu jatidiri dan pemilikan. Ini hakikat.

Bagaimana jika bukan Melayu menerima bahasa Melayu secara paksaan kerana tertulis dalam perlembagaan, bukan kerana menganggap bahasa itu milik mereka. Kita pun tidak minta mereka jadi Melayu, cuma mahu mereka merasai ruh bahasa itu sebagai bahasa bersama.

Cuma mahu bahasa Melayu hidup sebagai bahasa pertama dalam diri rakyat Malaysia. Tapi, tak tahulah kalau bahasa Melayu tidak boleh hidup kalau namanya Malaysia.

Khairulhak H.: Puan Zaiton, hakikatnya tanah Melayu sudah tidak wujud sejak lahirnya kontrak sosial. Kekuatan Melayu (ekonomi dan politik) juga sudah tidak ampuh sama sekali.

Apa pendapat puan kalau bahasa Melayu tidak dijadikan bahasa Malaysia, sebaliknya dikembangkan kepada bahasa Malaysia.

Bahasa Melayu tetap bahasa Melayu yang tidak pupus, tetapi juga adalah bahasa Malaysia. Soalnya, inti bahasa itu diperkukuhkan dengan jatidiri Melayu, namanya sekadar pembalut.

Macam buku untuk orang bisnes yang ditukar kulit – hanya untuk mereka. Padahal isinya sama dengan buku untuk orang lain, pelajar universiti contohnya. Boleh tak macam itu?

Zaiton Abu Samah: Benar, nama Tanah Melayu tidak lagi wujud dengan pengorbanan orang Melayu yang rela dalam paksa berkongsi negaranya. Benar juga bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, tetapi tidak perlulah menukarnya menjadi bahasa Malaysia, yang menuntut lagi pengorbanan orang Melayu. Apa pula pengorbanan orang lain? Adakah mereka juga mahu mengggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama di sekolah-sekolah atau di universiti mereka? Ada di antara mereka tidak tahu berbahasa kebangsaan pun. Itukah harga pengerbanan orang Melayu?

Zaiton Abu Samah: Kadang-kadang kita terlalu memikirkan perasaan orang lain, tetapi tidak begitu berhati-hati dengan perasaan bangsa sendiri. Sama seperti apabila orang Melayu membincangkan hak Melayu akan dipanggil atau dicop sebagai rasis. Anehnyaiapabila orang lain membincangkan hak orang Melayu tidak pula dianggap rasis. Pernahkah kamu terfikir betapa tersayatnya hati orang Melayu apabila hak mereka mula dipersoalkan?

Khairulhak H.: Itu yang kita harap dapat diperbetulkan. Secara perlahan-lahan, secara halus, bukan dengan paksaan. Jika bukan dengan bahasa pun, tetap perlu fikirkan cara lain untuk memancing kerelaan mereka.

Kita mahu pengorbanan yang selama ini tidak akan terus sia-sia.

Saya risau, yang puan katakan ada di antara mereka tidak tahu berbahasa kebangsaan itu, kerana nama bahasa itu yang terlalu tertutup buat mereka. Dan kita pun, suka juga berbahasa Inggeris dengan mereka, sebab bahasa Melayu bahasa kita, bukan bahasa (untuk) mereka.

Zaiton Abu Samah: Orang Melayu tidak perlu lagi berkorban untuk menghilangkan nama bahasanya. Sebahagian ciri-ciri bangsa Melayu terletak pada bahasanya. Jika hilang bahasanya, tidak sempurnahlah bangsanya. Sama seperti menukarkan bahasa Inggeris menjadi bahasa Amerika Syarikat, atau bahasa Australia. Hilanglah ciri orang Inggeri s itu dengan sendirinya. Orang China pun masih mengekalkan bahasa Mandarin sebagai bahasa utamanya.

Marsli No: Ha. ha. ha. Masa kecik dekat estet dulu kawan aku Ah San dan Moorthy. Dia cakap macam bahasa yang aku cakap juga dan tidak pun kami bergaduh pasal bahasa ini. Tetapi yang datang buat kacau adalah orang-orang politik yang konon hendak jadi jaguh kaum masing-masing. Seingat aku, Ah San dan Moorthy tidak pun marah bila aku perli dia tidak pandai cakap Melayu bila mereka salah sebut sesuatu perkara dalam bahasa Melayu. Jadi apa masalahnya? Kan sudah jelas nama bahasa tu Melayu.Kepala hotak emak bapak dia pulak nak tukar jadi Malaysia. Sejak bila weh?

Zaiton Abu Samah: Jangan samakan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia. Mereka mempunyai sejarah yang tersndiri di bawah panca susila. Penggunaan bahasa Indonesia adalah terhasil daripada penyatuan beratus-ratus bahasa yang ada di Indonesia. Sila rujuk pada panca susila Indonesia.

Khairulhak H.: Pandangan puan tentang hak melayu itu saya setuju. Memang betul, terhiris apabila hak dipersoalkan.

Cuma, Melayu itu orangnya bijaksana. Kurang ajarnya tetap santun. Menipu masih bersopan. Mengampu beralas tangan. Akal budi bersulam daya. Gedung akal laut bicara. (SN UA)

Melayu bukan arab yang asabiah. Melayu perlu bangkit dalam senyum, dengan strategi bukan membuta tuli. Sayangnya Melayu sekarang ramainya yang emosi.

Lalu dikalahkan emosi itu dengan akal dan helah orang lain.

Khairulhak H.: Tuan Marsli, alangkah bagus kalau masa dulu itu kekal sehingga sekarang. Di mana tiada ahli politik yang mahu jadi jaguh, dan Moorthy yang tidak pandai marah bila ditegur.
Tapi sekarang yang bukan ahli politik pun sama naik bersilat bila ditegur. Sebab rasa kuat barangkali.

Ada kaum lain yang juga tak setuju bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa Malaysia, sebab mereka mahu bahasa mereka juga diangkat sebagai bahasa-bahasa Malaysia. Fikir mereka, bahasa Melayu hanya salah satu bahasa dalam Malaysia bukan bahasa utama Malaysia.

Jadi bagaimana kita mahu beritahu mereka bahasa Melayu adalah bahasa paling utama (secara praktikal – bukan hanya dalam perlembagaan) dalam Malaysia? Ada cara lebih elok?

Zaiton Abu Samah: Orang Melayu tidak bersatu sebenarnya. Emosi itu perlu untuk membangkitkan semangat. Jika orang lain bersatu kukuh dalam mempertahankan bangsa dan bahasanya, orang Melayu juga perlu bersatu kukuh mempertahankan haknya. Jangan lagi ulangi sejarah di Melaka. Sejarah kitul dan mendeliar harus dijadikan pengajaran. Tanpa perlu membuka pekung orang Melayu, anak-anak muda seperti saudara harus belajar daripada sejarah.

Marsli No: Sdr Khairulhak yang bersemangat: Nanti ketemu kita bincang lebih lanjut dan sempurna akan cara-cara yang lebih elok itu. Setuju?

Zaiton Abu Samah: Jelaskan kepada mereka sejarah dan keadaan sebenarnya agar mereka tidak keliru. Penentangan wujud kerana mereka tidak faham.
Dedahkan mereka dengan sejarah agar mereka lebih memahami dan tahu mengapa dan bagaimana Malaysia wujud. Secara tidak langsung, mereka akan memahami mengapa perlembagaan wujud.
Gunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Menjulang dan mengutamakan bahasa lain secara tidak langsung merendahkan bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga bahasa ilmu.

__

Inilah satu sebab kenapa saya tidak boleh membenci Facebook.

Ya, rupa-rupanya ini memang tulisan terakhir saya di sini. Saya kata, ya.

Resam

Ada orang hebat dan ada orang tidak hebat. Ada orang lebih hebat dan juga ada orang yang lebih tidak hebat.

Orang hebat memandang rendah pada orang tidak hebat. Orang tidak hebat memandang tinggi kepada orang hebat.

Orang lebih hebat memandang tinggi pada orang yang tidak hebat. Orang yang lebih tidak hebat memandang rendah pada orang hebat.

Cukup.

__

Barangkali ini tulisan terakhir saya di sini. Saya kata, barangkali.

Dalam melayari beberapa blog tempatan yang kebanyakannya membicarakan hal isu semasa, saya telah sampai ke ruang perbincangan yang menyentuh soal agama dalam sudut pandangan yang liberal.

Dari situ, saya jadi faham bahawa dalam negara yang saya anggap aman dan toleran ini, wujud dalam kalangan penduduknya yang mempunyai fahaman tersendiri dalam mentafsirkan agama. Ada yang berfikiran liberal, dan memeranjatkan saya ada juga sebenarnya yang terang-terangan mengaku tidak beragama. Lebih memeranjatkan jika orang seperti ini adalah orang yang lahir daripada keturunan yang beragama seperti saya.

Apa Yang Saya Faham

Saya sebagai seorang yang beragama, yakin dan percaya sepenuhnya pada agama yang saya anuti, yakni Islam. Dalam pemikiran ini, saya faham bahawa apa yang saya lakukan adalah demi perjuangan kehidupan yang tidak akan berakhir buat selama-lamanya. Maksud saya, dalam ajaran agama Islam yang saya yakini, kehidupan tidak berakhir dengan kematian sebaliknya kehidupan adalah satu perjalanan yang tidak akan putus sampai bila-bila.

Kematian hanyalah satu perhentian yang menyudahkan nafas di alam dunia. Kehidupan seterusnya akan disambung dalam alam yang seterusnya, yang saya sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana berdasarkan keterbatasan iman dan akal. Namun saya yakini dengan sepenuh hati bahawa itu kenyataan yang wujud dan benar.

Namun demikian, saya juga tidak menolak bahawa penganut agama lain juga mempunyai keyakinan dalam hati mereka tentang kepercayaan dan ajaran dalam agama yang mereka anuti. Walaupun dalam Islam saya faham istilah ‘kebebasan beragama’ adalah satu pendekatan yang salah, dan menyimpang daripada pegangan akidah namun dalam pemikiran merentas kepercayaan dan anutan setiap manusia, saya terima bahawa masyarakat yang tidak menganut agama saya bebas untuk memilih agama mereka, yang mereka yakini.

Beragama Itu Fitrah

Saya diajar dalam agama yang saya anuti, bahawa kehidupan beragama itu adalah fitrah kepada manusia. Makna yang jelas, keinginan terhadap agama dan unsur spiritual adalah sebahagian daripada sifat semulajadi kejadian manusia. Bermakna, manusia yang menolak agama adalah manusia yang tidak normal dan tidak waras daripada takrif kemanusiaan. Maka, manusia jenis ini saya anggap sebagai tidak layak untuk mentakrifkan makna kemanusiaan.

Ya, ada yang berkata menghalang orang lain daripada menganuti agama yang mereka ingini itu adalah ofensif terhadap nilai kemanusiaan. Juga ada yang mendakwa tindakan Rasulullah S.A.W meruntuhkan berhala Quraisy di sekeliling Ka’abah ketika pembukaan kota Mekah, cuma betul daripada pandangan agama Islam sebaliknya itu adalah ofensif terhadap hak beragama orang kafir Quraisy pada waktu itu.

Dalam agama Islam, saya diajar bahawa Islam itu sendiri adalah fitrah. Saya yakin dengan itu. Ada hadith yang merekodkan sabda Rasulullah S.A.W sebagai berkata, setiap anak yang lahir adalah dalam fitrah dan ibu bapa yang menjadikan anak itu nasara, yahudi, ataupun majusi (Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a).

Maksud hadith ini saya fahami bahawa anak yang lahir secara semulajadi dengan sifat kemanusiaan, dan berhak untuk mendapat agama yang secara semulajadi sesuai dengan manusia. Nabi S.A.W tidak mengatakan ibubapa-lah yang mengislamkannya, sebaliknya mengatakan ibubapa-lah yang meyahudikan ataupun menasranikannya. Ini membawa maksud mengislamkan seorang bayi itu tidak perlu kerana Islam itu fitrah bagi setiap manusia yang lahir (maksud secara konseptual, bukan secara literal). Sekadar perlu Islam itu ditemukan kepada manusia yang belum menemuinya.

Golongan Tanpa Agama

Hari ini saya juga faham bahawa jika ada orang yang berusaha mengkaji dengan akal untuk mencari agama, maka ada juga orang yang mengkaji dengan akal untuk menolak agama. Mereka mengkaji dan mencari Tuhan, sayangnya mereka tidak menemui-Nya. Lalu mereka senang dengan kehidupan sebegitu.

Berhadapan dengan orang sebegini, jika cuma ada agama dengan anutan yang diterima dan diamali, tentu tidak layak bagi kita berhujah di hadapan mereka. Perlu ada lebih daripada sekadar amalan, iaitu kefahaman yang jitu dan dalil bagi segalanya.

Saya secara peribadi, dengan ilmu agama yang saya pelajari, rasanya belum dapat merasionalkan setiap hujah kepercayaan saya dengan rasional jika berdepan dengan manusia yang mempunyai seribu satu hujah dalam mempersoalkan agama.

Ini kerana saya faham, bahawa saya menerima agama kerana wujudnya ‘nur’ dalam hati saya untuk mengimani Tuhan yang esa, kalaupun saya belum dapat fahami sedalamnya setiap patah ilmu Tuhan yang terkandung dalam kitab suci al-Quran. Tetapi saya tahu, ini bukan hujah yang kukuh lagi rasional untuk saya persembahkan kepada golongan yang menolak agama. ‘Nur’, bukan sesuatu yang nampak dan boleh ditunjukkan.

Jika mereka yang menolak agama berpegang kepada unsur kemanusiaan yang mereka anuti, dan dengan akal yang mereka ada mereka mencari seribu dalil untuk dipersoalkan. Bagi setiap persoalan itu, bukan semua jawapannya ada dalam diri umat Islam seperti saya, walaupun segalanya tertulis dalam al-Quran dan hadith.

Pesanan

Kepada teman yang membaca tulisan ini, jika anda adalah umat yang menganuti agama yang sama seperti saya, maka fahamlah kalian bahawa agama bukan sekadar untuk diamali, sebaliknya juga perlu difahami sedalamnya. Tiba waktu apabila kita dihadapkan dengan persoalan demi persoalan terhadap apa yang kita amalkan, maka hujah dan dalil perlu ada untuk dipersembahkan.

Kepada teman yang membaca tulisan ini, jika anda bukan umat yang menganuti agama yang sama seperti saya, tentu anda punyai rasional mengikut kepercayaan anda terhadap apa yang anda yakini. Saya faham dan toleran dengan kepercayaan anda, dan dengan itu saya anggap keharmonian akan tercapai dalam sudut-sudut yang tertentu.

Tetapi kepada teman yang membaca tulisan ini, jika anda bukan umat yang menganuti apa-apa agama, maaf tulisan ini bukan untuk anda. Saya tidak mampu menjawab hujah anda, dan anda berhak bertemu dengan orang yang lebih layak dalam merungkai persoalan anda itu.

Cukup.

Sedang saya bersama seorang rakan sepejabat melewati susur ke bangunan tempat kami bekerja, datang seorang lelaki yang wajahnya tidak asing berselisih dengan kami dan menegur rakan sepejabat saya. Seolah kenal-kenal, dan kami bersalaman.

Saya kira itu seorang pelakon drama televisyen yang agak dikenali suatu waktu dahulu, dan telah agak lama tidak kelihatan dalam drama-drama kebelakangan ini. Pelik terus meraja dalam akal apabila lihat lelaki pelakon drama itu yang menegur penuh ramah rakan sepejabat saya, seorang kerani yang sudah berusia.

Jawab rakan sepejabat saya, dia pernah ditegur lelaki drama itu sebelum ini kerana kata lelaki itu mereka pernah bertemu sebelumnya. Ini melucukan, kerana seorang yang dikenali dalam televisyen pula berkata dia mengenali rakan sepejabat saya padahal rakan sepejabat saya itu cuma pernah lihat lelaki itu lewat drama lakonannya sahaja.

Sejak itu lelaki drama itu akan beramah tamah dengannya setiap kali terserempak ataupun berselisih.

Maka dikisahkan oleh rakan sepejabat saya sepertimana yang dikisahkan kepadanya bahawa lelaki drama itu kini sedang mengusahakan penerbitan filem baru. Katanya lagi, pinjaman yang dibuat sahaja mencecah RM1.7j. Tidak tahulah saya pinjaman daripada pihak mana kerana rakan sepejabat saya pun tiada maklumat terperinci. Sementelah saya pun cetek amat ilmu dalam hal selok belok perfileman ini.

Kos pembikinan filem yang merupakan pinjaman sebanyak RM1.7j memang berisiko. Lalu saya pun bercerita kepadanya tentang hal filem Rempit V3 yang dikhabarkan tidak diluluskan penayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem dan kementerian yang bertanggungjawab kerana unsur lumba haram yang terlalu banyak.

Sedang elok kami tenggelam di dalam ngangaan lif, saya menempelak, cerita-cerita sebegitu lebih eloklah disekat tayangannya kalau sudah memang dari pandangan mata kasar kita penonton yang tidak tahu seni ini pun nampak keburukannya. Filem bukan hanya disasarkan buat peminat seni, sebaliknya juga kepada manusia kebanyakan atas tiket hiburan. Anak-anak yang belum cukup masak pemikiran satu contoh golongan yang terkesan dengan paparan negatif lagi tidak bertanggungjawab itu.

Apa mahu dikira kerugian yang ditanggung penerbit akibat filem siap yang tidak lulus untuk tayangan. Kata orang, takut rugi jangan main judi dan kalau mahu berjudi pun, janganlah sampai memperjudikan kepentingan orang lain. Realiti memang sedap ditonton, sebaliknya realiti yang bobrok diperlihatkan secara terang nyata adalah juga satu bentuk promosi terhadap kebobrokan itu. Ini pun masih mahu kata filem sebegitu menekankan unsur moral di sebaliknya? Ah, malas sudah mahu cakap panjang. Sudah saya ngomelkan panjang lebar dalam tulisan yang lepas.

Ada juga yang prejudis menuduh pihak berkuasa menyekat kreativiti penerbit filem tempatan. Jadinya, jika kreativiti pun dibataskan bagaimana industri hiburan tanah air akan merendang? Pada saya ini bukan mengejar peluang mencanai kreativiti sebaliknya terang-terang mengambil kesempatan demi keuntungan.

Sungguh saya lebih rela memilih jalan selamat. Mengesampingkan tanggungjawab sosial membentuk moraliti khayalak bukanlah satu perjuangan yang cantik, kalaupun itu didasarkan atas tiket untuk berkreatif. Sungguh saya harap ramai lagi di luar sana yang sependapat dengan saya. Kita mahu menolak hiburan jenis ini yang mempromosikan sisi hitam dengan tujuan kononnya menganjur nasihat.

Sesampainya saya di pintu pejabat, sebelum rakan sepejabat saya itu mencari hala ke tempatnya saya menambah, apabila pihak polis katakan filem yang sebegini memberi kesan kepada peningkatan masalah sosial, penerbit filem pula melenting. Kata mereka, penerbit filem tidak pernah menuduh pihak polis tidak buat kerja, dan pihak pihak polis juga jangan memandai-mandai menuduh penerbit filem kalau tiada sokongan statistik.

Fuh, begitulah. Saya kira kalau sudah perlu menunggu wujud kajian empirikal bagi membuktikan sesuatu kesilapan itu benar silap maka sudah cukup tinggilah ilmu kita semua dalam mematikan hujah. Iya, seperti tesis akademik yang mana hujahan tanpa bukti empirikal tidak dikira kukuh. Jadi kalau sudah ramai yang mampu berfikiran dalam kelas universiti, sepatutnya tidak akan terlepas pandang lagi tentang sesuatu yang jelas ketara pada pandangan orang kebanyakan.

Setidaknya orang kebanyakan seperti saya, yang buta seni. Ataupun orang kebanyakan lain yang menonton untuk hiburan, dan nampak keburukan dalam hiburan. Ya, keburukan seperti gambaran rempit, bohsia, tahyul, hantu, peluk, cium, lagha dan sebagainya.

Sebelum beredar, rakan sepejabat saya itu pun menzahirkan harap dan telahan, bahawa filem baru ‘rakan baru’nya itu tidaklah sebegitu. Harap-harap.

Cukup.

Kiriman-Kiriman Sebelumnya »